Yayasan Wakaf Malaysia perkenal inovasi baharu pendanaan wakaf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yayasan Wakaf Malaysia akan memperkenalkan kaedah pendanaan wakaf melalui inovasi baharu lebih kontemporari yang mampu mengembangkan dana wakaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Tuan Haji Idris Ahmad, berkata antara kaedah berkenaan ialah Sukuk Wakaf, Wakaf REITs, Saham Wakaf dan Wakaf Dividen.

Katanya, Yayasan Wakaf juga akan menerokai mekanisme pelaburan jangka panjang lain ke arah mengoptimumkan penggemblengan aset wakaf tanpa mengharapkan bantuan dana lain menerusi kaedah pelaburan strategik.

- Advertisement -

“Pelaburan yang dibuat juga tidak hanya tertumpu kepada deposit atau peletakan tunai di mana-mana akaun pelaburan, tetapi boleh diterjemahkan kepada pelaburan hartanah, pertanian, peladangan dan lain-lain yang bersesuaian,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain Yayasan Wakaf Malaysia, Idris berkata, menerusi Pelan Pemerkasaan Pengurusan Wakaf yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, terdapat beberapa inisiatif wakaf yang akan diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia bersama dengan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri, iaitu Pelan Induk Wakaf Nasional dan Dana Wakaf Nasional.

Dalam konteks wakaf pendidikan, katanya Yayasan Waqaf Malaysia mempunyai produk wakaf khusus untuk tujuan pendidikan, iaitu Sijil Wakaf Tunai Pendidikan yang akan digunakan bagi tujuan pembiayaan aktiviti kebajikan berkaitan pendidikan, termasuk pendidikan agama Islam.

Idris berkata, dana wakaf yang dikumpul akan dipindah bentuk kepada aset kekal merangkumi objektif pendidikan mengikut kesesuaian dan peraturan yang diguna pakai.

“Manfaat yang dihasilkan akan digunakan untuk beberapa tujuan seperti membiayai pembelian alat pendidikan untuk kebajikan masyarakat, membiayai belian peralatan atau pakaian untuk murid kurang berkemampuan, membiayai kos ubah suai atau tambahan kemudahan pendidikan di mana-mana pusat pendidikan yang bersesuaian dan membantu membiayai kos pendidikan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, Yayasan Waqaf Malaysia juga telah mewujudkan Wakaf Tunai YWM-PINTA melalui jalinan kerjasama dengan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) dalam melaksanakan program wakaf bagi tujuan program pembangunan institusi tahfiz negara.- HARAKAHDAILY 23/9/21

- Advertisement -