Kedah mampu beralih ke Fasa 2 PPN

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Kedah mampu beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila jumlah katil pesakit Covid-19  di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di negeri itu dapat dikurangkan ke nilai ambang 70 peratus.

Namun buat buat masa ini, penggunaan katil pesakit Covid-19 di wad terbabit masih tinggi iaitu berada di tahap 79 peratus. 

- Advertisement -

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah katil di wad ICU agar peratus nilai ambang untuk beralih ke fasa dua PPN berhasil. 

“Setakat ini 10 buah katil ICU modular (boleh alih) ditambah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan 15 buah di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani. 

“Pihak kerajaan juga membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk bantuan Hospital Medan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana banyak katil-katil ICU yang tidak digunakan. Katil-katil ini kita hendak hantar ke hospital di Sungai Petani dan Alor Setar,” jelasnya dalam sidang media, di sini, hari ini. 

Berikutan itu katanya dengan penambahan bilangan katil ICU, maka ia membolehkan kadar peratus penggunaannya menurun ke paras 70 peratus dan membolehkan Kedah beralih ke fasa dua PPN.

Sementara itu, kadar vaksinasi lengkap dua dos di negeri itu sudah mencapai lebih dari 50 peratus manakala 62 peratus daripada penduduk yang mendaftar sudah menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.

Vaksinasi di Kedah semakin rancak apabila 1.4 juta dos dibekalkan pada bulan ini, sementara vaksinasi untuk remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah bermula 20 September lalu. 

Usaha untuk memastikan dua daerah terendah menerima imunisasi tersebut iaitu Pendang dan Baling digiatkan dengan pelaksanaan program vaksinasi secara jangkauan. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -