Isu Jalan Gebeng dibangkitkan ADUN Beserah ditangani

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Masalah Jalan Gebeng, Kuantan yang digenangi air hingga berisiko membahayakan pengguna jalan raya akhirnya mendapat kelulusan peruntukan untuk menangani keadaan itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuantan.

ADUN Beserah, Andansura Rabu yang membangkitkan isu tersebut ke perhatian agensi-agensi serta syarikat berkaitan telah menunjukkan punca masalah dikenal pasti menerusi satu tinjauan bersama ke lokasi pada 12 September lalu.

Ia disusuli inisiatif beliau mengatur mesyuarat bersama pada 14 September melibatkan JKR, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Juga Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Roadcare (M) Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad (TM), Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd, RP Chemical (M) Sdn Bhd, MTBE (M) Sdn Bhd, ZCM Minerals Sdn Bhd dan YS Makmur Sdn Bhd.

Susulan persetujuan dan kelulusan dicapai itu, mereka sekali lagi mengadakan lawatan tapak bagi membantu kelancaran perancangan kepada kerja-kerja pembaikan yang akan dibuat nanti, di sini kelmarin.

Lawatan ini telah mengesahkan punca utama masalah tersebut adalah aliran air yang tidak berhenti dari Bukit Penggorak, ditambah bebanan air dari perindustrian lombong dan pembersihan timah serta industri-industri kecil sekelilingnya.

Alhamdulillah kita telah bersetuju untuk menyelesaikan sementara masalah air bertakung dan jalan rosak ini menerusi kerja-kerja pembersihan longkang.

“Supaya air dapat mengalir dengan lebih lancar dan tidak tersekat dan tidak akan bertakung di mana-mana kawasan, terutama sekali yang akan menjejas pengguna jalan raya dan orang ramai,” ujar Andansura.

Maklumnya, JKR pada mesyuarat tersebut telah bersetuju menyediakan peruntukan untuk melakukan pembaikan sistem saliran di kawasan tersebut yang akan dilaksanakan oleh kontraktor dilantik oleh Roadcare (M) Sdn Bhd.

Bagaimanapun beliau dimaklumkan, kerja-kerja ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak kerana di bawah tanah kiri dan kanan jalan tersebut terdapat laluan pelbagai paip dan kabel utiliti milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), TM dan paling berisiko adalah paip gas.

“Hasil dari perbincangan kita dan pihak Gas Malaysia yang terlibat, kita akan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dengan kadar yang segera dijangka dalam minggu ini juga.

“Sama-sama kita doakan agar jalan penyelesaian yang dicapai ini dapat membantu meringankan kesukaran pengguna jalan raya, dapat mengurangkan risiko keselamatan pengguna.

“Kita juga akan usahakan adanya utiliti lampu jalan dan sebagainya dengan pihak berkaitan untuk memperbaiki keadaan dengan lebih baik lagi,” jelas beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Pun begitu maklumnya, langkah segera tersebut adalah untuk sementara, manakala bagi jangka panjang melibatkan penyelesaian lebih besar iaitu naik taraf laluan tersebut akan dilaksanakan kemudian.

Andansura memberi komitmen akan mengangkat perkara tersebut kepada perhatian dan tindakan pihak terbabit kerana ianya telah ada dalam perancangan berkaitan di mana akan dimintanya supaya dapat disegerakan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk wakil Pejabat Pentadbir Daerah Kuantan, Nor Naja Nabila Mohamad dan Penghulu Mukim Sungai Karang, Ahmad Faizul Rahimi Dato’ Abu Ishak serta Tok Empat, Mansor Mokhtar dan JKKK Balok. – HARAKAHDAILY 18/9/2021

- Advertisement -
- Advertisement -