PPN Fasa 4 Langkawi jayakan projek rintis ‘bubble travel’

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

- Advertisement -

LANGKAWI: Kedah menyasarkan 400,000 pelancong ke Langkawi sempena ‘buble travel’ sehingga akhir tahun ini.

Hal itu sebagai penanda aras baharu peningkatan ekonomi Langkawi setelah lesu dan hampir lumpuh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

Menteri Besar, Muhammd Sanusi Md Nor berkata, pulau itu kini memasuki fasa ke empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila telah mencapai 90 peratus imuniti kelompok vaksinasi Covid-19 minggu lalu.

“Harap apa yang berlaku hari ini dan seterusnya adalah perkara-perkara positif untuk dikembangkan selain menjayakan projek rintis ‘buble travel’ (gelembung pelancongan) di Langkawi,” katanya dalam sidang media hari pertama pembukaan Pulau Lagenda itu 16 September lalu.

Beliau bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, menyambut kedatangan 159 pengunjung melalui penerbangan sulung sempena gelembung pelancangon, di sini.

Sementara itu Sanusi ketika lawatan santainya ke Pantai Cenang pada sebelah petangnya mengingatkan semua pengunjung menjaga prosedur operasi standard (SOP) sama ada untuk diri sendiri mahupun keluarga.

“Elak berada di tempat sesak, jaga penjarakan, pakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.

“Semoga semua selamat, sambut dengan gembira dan pulang dengan ceria,” katanya lagi.

Beliau tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan projek rintis anjuran bersama MOTAC dan kerajaan negeri itu.

Kelmarin seramai 3,200 pengunjung hadir ke Langkawi pada hari pertama pembukaannya.

1,000 daripadanya melalui perkhidmatan feri dari Kuala Perlis manakala selebihnya menerusi 18 penerbangan pada hari pertama Khamis lalu.

Hanya individu yang lengkap dua suntikan vaksin serta negatif hasil dari ujian pengesanan Covid-19 sahaja dibenarkan masuk ke pulau itu.

Sementara dijangkakan Pulau Mahsuri itu bakal dikunjungi 30,000 pelancong dalam tempoh dua minggu ini. – HARAKAHDAILY 18/9/2021

- Advertisement -