PICK bawa Terengganu capai sasaran Oktober ini

- Advertisement -

SAYA mengambil maklum perkara yang dibangkitkan berhubung Vaksinasi COVID-19 dan bekalan vaksin di Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu kelmarin dan insya-Allah ingin memaklumkan kedudukan terkini Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) di Terengganu.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini telah beroperasi selama 8 bulan. Sehingga 12 September 2021, seramai 24,019,529 populasi Malaysia telah mendaftar di dalam MySejahtera dan sebanyak 39,977,930 janji temu telah dikeluarkan.

Dalam tempoh yang sama juga, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencecah 38,260,575 jumlah dos telah diberikan iaitu kepada seramai 21,290,855 orang telah menerima dos pertama dan 16,915,917 orang atau 72.3 peratus daripada populasi dewasa telah melengkapkan 2 dos vaksin. Sehingga 11 September 2021, kadar vaksinasi harian negara adalah sebanyak 258,929 dos.

- Advertisement -

Sebagaimana yang telah diumumkan, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan lebih RM4 bilion bagi perolehan vaksin merangkumi 140 peratus daripada populasi negara kita. 

Status terkini PICK di Negeri Terengganu. Sehingga 12 September 2021, 86.8 peratus atau 701,519 daripada populasi dewasa di Terengganu telah mendaftar dalam MySejahtera.

Daripada jumlah itu, seramai 718,884 orang atau 88.9 peratus populasi dewasa 18 tahun ke atas di Terengganu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala seramai 544,131 orang atau 67.3 peratus telah lengkap dos vaksin. Jumlah ini juga merangkumi 57.1 peratus daripada keseluruhan populasi yang menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 43.2 peratus daripada keseluruhan populasi yang telah lengkap vaksinasi.

Sehingga 8 September, dengan purata kadar vaksinasi harian yang hampir mencecah 20,000 dos sehari, kita menjangkakan akan mencapai 84 peratus daripada populasi dewasa lengkap vaksinasi menjelang akhir September ini manakala 100 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi dan imuniti kelompok iaitu 80 peratus daripada keseluruhan populasi lengkap divaksinasi menjelang Oktober ini. 

Jumlah dos yang telah diberikan di Negeri Terengganu adalah sebanyak 1,292,495. Tahniah saya ucapkan kepada CITF Negeri Terengganu dan juga Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kerana telah mengekalkan kadar penggunaan vaksin antara yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Faktor ini jugalah yang membantu mempercepatkan kadar vaksinasi di Negeri Terengganu.

Anggaran agihan bekalan vaksin bagi Negeri Terengganu untuk bulan September pula adalah sebanyak 643,187 dos. Kita mempunyai keupayaan kapasiti PPV untuk menyuntik lebih 30 ribu dos sehari. Sebanyak 62 buah PPV pelbagai jenis yang sedang dan akan beroperasi dengan anggaran kapasiti harian maksimum sebanyak 30,162 dos suntikan.

Alhamdulillah, Terengganu telah mencapai Nilai Ambang 60 peratus daripada populasi dewasa lengkap vaksinasi bagi bulan September. Sehingga 8 September, kesemua 8 daerah di Terengganu juga telah melepasi nilai 60 peratus sekurang-kurangnya menerima satu dos vaksin. 

3 indikator utama yang menjadi ukuran dalam Pelan Pemulihan Negara iaitu Purata Kes Harian COVID-19, Penggunaan Katil di Wad ICU dan Kadar Vaksinasi. 2 indikator telah kita lepasi untuk beralih ke fasa berikutnya, namun penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital di negeri ini yang melebihi 75 peratus menyebabkan peralihan kita ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditangguhkan.

Saya mengambil maklum keresahan mengenai kekurangan bekalan vaksin di peringkat awal pelaksanaan PICK di Terengganu namun CITF telahpun menyiapkan pelan pengagihan vaksin yang mencukupi supaya sasaran pencapaian 80 peratus dos lengkap sebelum hujung Oktober boleh dicapai.

Saya sendiri secara berterusan sentiasa berhubung dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu khususnya Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu dan membantu meningkatkan bekalan vaksin jika ada keperluan seperti juga untuk negeri negeri lain yang perlukan pengubahsuaian jadual penghantaran vaksin di mana ada keperluan. Malaysia telah membeli dos vaksin yang cukup untuk 140 peratus populasi penduduk Malaysia.

Kerana itu banyak negeri yang sebelum ini bercadang membeli sendiri vaksin untuk rakyat mereka tidak berbuat demikian untuk mengelakkan pembelian yang tidak perlu yang mungkin membazirkan sumber kewangan negeri kerana bekalan vaksin pusat mencukupi dan sasaran imuniti kelompok mengikut jadual. Kerana pembelian sendiri adalah tidak mudah dan dikhuatiri penghantarannya berlaku lewat sedangkan PICK telahpun mencapai seperti disasarkan.

Sewaktu lawatan bersama YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr Adham bin Baba ke Terengganu beberapa hari yang lalu, kami sempat sertai 3 program outreach di Losong. 

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak terutamanya frontliners kita, KKM, PDRM, ATM, NGO-NGO yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha kita bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini.

DATO’ AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -