15,225 kes ILI di Negeri Sembilan: Flu kekal membimbangkan – MIWG

Potensi jangkitan influenza di Malaysia boleh berlaku pada sepanjang tahun.
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15,225 kes penyakit seperti influenza (ILI) dilaporkan di Negeri Sembilan bagi tempoh 1 Jan hingga 9 Julai lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan menurut laporan Bernama, berkata, daerah Seremban merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 4,923 kes, Tampin (3,877), Jempol (2,255), Jelebu (2,050), Kuala Pilah (973), Port Dickson (824) dan Rembau (323 kes).

“Terdapat sembilan kumulatif wabak ILI di negeri ini direkodkan pada tahun ini namun tiada wabak ILI yang aktif, selain tiada sekolah atau tadika ditutup akibat wabak itu dan tiada kematian dilaporkan,“ katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kes influenza arau ringkasnya, flu dilaporkan berlaku di Malaysia, khususnya kluster penyakit ILI di sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor, sekolah di Kuala Lumpur (Gombak) dan di Ipoh baru-baru ini. 

- Advertisement -

Sehubungan itu, rakyat Malaysia bagaimanapun dinasihatkan agar tidak panik dengan gejala jangkitan flu dan kluster ILI yang melanda negara ketika ini tetapi digesa untuk mengutamakan pencegahan melalui vaksinasi dan kekal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

Malaysia Influenza Working Group (MIWG) dalam kenyataannya berkata, tindakan segera Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani kes jangkitan flu di Malaysia ketika ini patut dipuji, namun keadaan masih lagi membimbangkan, terutama bagi golongan yang berisiko tinggi.

“Selepas Covid-19 diberi kelonggaran dari segi SOP pada era endemik ini sejak 1 April 2022, berlaku pula peningkatan bilangan kes penyakit berjangkit biasa seperti flu ini, dan apa yang membimbangkan ialah sama seperti Covid-19, ia boleh membawa maut,” ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan berkenaan, pandemik Covid-19 telah memberi pengajaran bahawa vaksinasi boleh memberi banyak faedah kepada semua.

“Walaupun SOP Covid-19 perlu dikekalkan untuk mencegah flu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menggalakkan suntikan flu tahunan. 

“Dengan peningkatan kes flu baru-baru ini dalam komuniti Malaysia dan jangkaan gelombang baharu Covid-19 dalam beberapa bulan akan datang, pencegahan flu adalah amat penting ketika ini, atau kita mungkin menghadapi dua risiko daripada dua penyakit berjangkit yang berpotensi mengancam nyawa seperti yang terbukti di Australia pada masa ini.

“Di sana (Australia), mereka sedang bertarung dengan wabak influenza pertama yang serius sejak permulaan wabak Covid-19,” ujar MIWG.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kes flu dilaporkan berlaku di Malaysia, khususnya kluster penyakit seperti influenza (ILI) di sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor, sekolah di Kuala Lumpur (Gombak) dan di Ipoh baru-baru ini. 

Menurut MIWG, peningkatan kes flu dalam komuniti berkenaaan menunjukkan bahawa penyakit itu telah kembali dan berpotensi untuk merebak di negara ini.

“Tidak seperti negara bermusim sederhana, influenza berlaku sepanjang tahun di Malaysia. Ini bermakna anda boleh dijangkiti flu pada bila-bila masa. Influenza merebak daripada individu ke individu yang lain terutamanya melalui titisan-titisan cecair sehingga kira-kira sejauh enam kaki.

“Faktor lain yang menyebabkan penyebaran jangkitan ialah pengimportan kes flu melalui perjalanan antarabangsa, kelonggaran SOP Covid-19 dan kelekaan terhadap sekatan sosial,” ujar kenyataan tersebut.

Pelaksanaan vaksinasi bagi mencegah jangkitan flu melalui suntikan tahunan telah disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia.

Sehubungan itu, MIWG yang terdiri daripada pakar-pakar perubatan bekerjasama untuk menambah baik pencegahan, pengurusan dan kawalan influenza di Malaysia.

“Kami sangat prihatin dengan imuniti populasi Malaysia yang rendah kerana kurangnya pendedahan kepada influenza dan pengambilan vaksin flu sejak dua tahun lepas. 

“Ini menjadikan penduduk lebih mudah dijangkiti flu dan kumpulan berisiko tinggi berisiko mengalami penyakit yang teruk, berpanjangan, dan juga boleh membawa maut,” ujar kenyataan MIWG itu.

Australia ketika ini sedang bertarung menghadapi kedua-dua wabak flu dan Covid-19 yang mengancam nyawa penduduknya. (FOTO Medscape.com)

Sehubungan itu menurut MIWG, kumpulan berisiko tinggi impak jangkitan flu terdiri daripada kanak-kanak, wanita hamil dan sehingga dua minggu selepas bersalin dan warga emas.

“Turut tergolong dalam kategori berisiko tinggi ialah individu yang menghidap penyakit perubatan kronik seperti diabetes, penyakit jantung, sejarah strok, penyakit buah pinggang kronik, penyakit pernafasan kronik seperti asma dan penyakit pulmonari obstruktif kronik; dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah akibat penyakit atau rawatan seperti pengidap HIV atau AIDS, atau kanser,” ujar MIWG. – HARAKAHDAILY 14/7/2022 >>>(Artikel penuh mengenai senario Flu di Malaysia boleh diikuti dalam HARAKAH cetak)<<<

- Advertisement -