10 palsukan sijil vaksin didakwa di mahkamah

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Seramai 10 orang dihadapkan ke mahkamah dan seorang daripada mereka disabitkan kesalahan kerana memalsukan sijil suntikan vaksin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata daripada jumlah itu, empat orang dari Sarawak, masing-masing dua orang dari Sabah dan Melaka, serta masing-masing seorang dari Kelantan dan Perak, manakala seorang yang disabitkan kesalahan dari Sarawak.

- Advertisement -

Katanya, Kementerian Dalam Negeri komited memastikan sebarang pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan mengikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Tindakan tegas penting bagi membendung penularan wabak Covid-19. Mereka yang memalsukan sijil suntikan vaksin boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya ketika menjawab soalan lisan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu).

Ismail berkata, tindakan kompaun tidak melebihi RM10,000 bagi individu dan sehingga RM50,000 bagi perbadanan boleh dikenakan serta-merta terhadap sesiapa yang didapati bersalah bagi menjimatkan masa dan meningkatkan kesedaran masyarakat.

Pada masa sama, katanya siasatan lanjut boleh dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, iaitu sama ada mengikut Akta 342 atau Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, jika dihadapkan ke mahkamah dan disabitkan kesalahan mengikut Akta 342, hukuman yang boleh dikenakan ialah denda sehingga RM100,000 atau tujuh tahun penjara atau kedua-duanya.

Menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain mengenai penggunaan tandatangan digital untuk memastikan ketulenan sijil vaksin, katanya perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -