NCER dan LADA bantu pulih pelancongan Langkawi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sempena pembukaan Pulau Langkawi sebagai projek rintis Gelembung Pelancongan Perjalanan Domestik pada Khamis, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menganjurkan Majlis Gerak Kerja Penggiat Industri Pelancongan Langkawi untuk merancakkan lagi sektor pelancongan domestik di pulau itu.

Dalam kenyataan pada Rabu, NCIA menjelaskan majlis secara dalam talian itu dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib dan Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Menurut NCIA, para penggiat usahawan sektor pelancongan di Langkawi yang telah mengambil bahagian dalam Program Modal Insan NCER, khususnya program JomKerja@NCER, JomNiaga@NCER dan entrepreneurNCER dianugerahkan dengan sijil penyertaan dan penghargaan.

- Advertisement -

NCIA menjelaskan pihaknya membuka peluang kepada semua perniagaan yang terlibat dalam sektor pelancongan di Langkawi untuk menyertai Program Modal Insan NCER merangkumi JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER supaya mereka dapat meneruskan pengambilan dan mengekalkan pekerja.

Selain itu, program entrepreneurNCER yang menyediakan bantuan kewangan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana melalui pinjaman dan perkhidmatan bimbingan turut ditawarkan dengan kerjasama Maybank dan Agrobank, menurutnya.

NCIA menambah, antara Program Modal Insan NCER yang membantu mewujudkan tenaga kerja mahir bagi permintaan sektor pelancongan di Langkawi adalah JomKerja@NCER, yang ditawarkan kepada syarikat-syarikat untuk mengambil dan melatih individu yang diberhentikan kerja, menganggur dan lepasan sekolah.

“NCIA telah menyasarkan sebanyak 100 peserta baharu untuk mendapatkan pekerjaan di bawah program ini (di Langkawi),” jelasnya.

Antara syarikat terawal menerima insentif daripada program JomKerja@NCER ini adalah Tropical Charters Sdn Bhd, Malibest Resort Sdn Bhd dan Explicit Eco Marine Sdn Bhd. tambahnya.

NCIA menjelaskan selain itu, program JomNiaga@NCER turut diperkenalkan dengan menyasarkan belia yang tidak mempunyai pekerjaan, wanita dan pekerja yang telah diberhentikan kerja dalam kalangan kumpulan B40.

Setakat ini 375 usahawan telah tamat latihan dan menerima kit permulaan perniagaan masing-masing, tambahnya.

Sementara itu, Nasaruddin berkata jalinan kerjasama strategik antara LADA dan NCIA memperlihatkan usaha kerajaan dalam membantu tenaga kerja dan syarikat dalam sektor pelancongan untuk pulih daripada kesan pandemik menerusi Program Modal Insan NCER.

“Penggiat industri pelancongan Langkawi menyambut baik pembukaan dan operasi Langkawi melalui gelembung perjalanan pelancongan domestik setelah lebih 20 bulan tidak beroperasi,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Jebasingam pula berkata NCIA komited untuk melihat sektor pelancongan Langkawi dan ekonomi negara pulih daripada kesan pandemik.

“Kami berharap program-program modal insan NCER dapat memberi manfaat kepada rakyat di Langkawi khususnya dalam membantu mewujudkan lebih banyak peluang perkerjaan, meningkatkan peluang perniagaan dan memastikan kelangsungan hidup kekal baik semasa pandemik ini. 

“Program yang ditawarkan merupakan peranan strategik NCIA dalam membantu memulihkan ekonomi pelancongan di wilayah ini dan mengatasi impak pandemik ke atas sektor pelancongan di Langkawi,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga merancang untuk menawarkan lebih banyak peluang kepada penggiat industri pelancongan di sekitar destinasi pelancongan NCER untuk menyertai program modal insan NCER.

Dalam pada itu, penggiat industri pelancongan di Langkawi berkata pandemik yang melanda seluruh dunia telah memberi kesan yang mendalam kepada mereka.

Mereka amat menyambut baik Program Modal Insan NCER untuk bangkit semula dalam perniagaan selain yakin sektor itu akan kembali maju seperti sebelum ini. – BERNAMA

- Advertisement -