Impak konflik di Asia Barat: Bantuan wang tunai M40

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa agar melakukan persiapan yang komprehensif dalam menangani kesan kestabilan ekonomi yang bakal muncul jika benar konflik di Asia Barat, khususnya impak serangan Iran terhadap Israel pada Ahad lalu akan berlanjutan.

Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, beliau khuatir rakyat di negara ini akan semakin tergugat mata pencarian masing-masing jika tiada langkah intervensi (campur tangan dalam urusan antara dua pihak) dilakukan dalam masa terdekat ini.

- Advertisement -

“Sebagai contoh, saya ingin mengesyorkan supaya bantuan tunai diperluaskan juga kepada rakyat dalam kategori M40 yang berpendapatan RM5,000 ke atas, memandangkan golongan berpendapatan pertengahan (middle income group) pada ketika ini tidak layak menerima sebarang bantuan tunai bagi meringankan beban dan komitmen kewangan mereka,” katanya.

Beliau berpendapat, serangan Iran terhadap Israel adalah suatu perkara yang dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa iaitu Artikel 51 Piagam Penubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana menyerang kedutaan negara itu di Damsyik, Syria pada 1 April  lepas.

“Namun, saya ingin menyatakan kerisauan saya bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terkesan sekiranya skala konflik Palestin-Israel sebelum ini dan terbaharu, Iran-Israel semakin melebar dan membabitkan negara Arab serantau,” katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Kementerian Ekonomi yang menjelaskan bahawa, jika konflik berkenaan semakin meluas dan membabitkan negara Arab serantau, ia akan memberi kesan yang signifikan, terutama kepada kenaikan harga minyak dan gas dunia serta gangguan bekalan rantaian perdagangan.

Tambah Muhammad Ismi, Kementerian Ekonomi juga memaklumkan bahawa tekanan berkenaan secara tidak langsung akan memberikan kesan terhadap inflasi dan pertumbuhan ekonomi dunia amnya dan pertumbuhan ekonomi Malaysia khususnya. 

“Walau bagaimanapun, secara amnya, konflik itu tidak memberi kesan langsung kepada dunia kerana kedua-dua negara bukanlah merupakan negara dagang utama dunia.

“Situasi yang luar biasa seperti konflik Asia Barat ini sesungguhnya memerlukan tindakan luar biasa daripada pemimpin yang berwibawa. 

“Saya percaya jika kita terus tekad dan berinovasi dalam mencari penyelesaian untuk membantu rakyat, Allah SWT akan memudahkan perjuangan kita dalam menempuhi ujian yang datang bertubi-tubi ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2024

- Advertisement -