Kesusahan rakyat: Kerajaan tak faham mikroekonomi, makroekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul baru-baru ini agar orang ramai menggantikan beras dengan ubi kayu  menunjukkan kerajaan tidak memahami apa itu mikroekonomi dan makroekonomi – yang menjadi punca kesusahan rakyat gagal difahami.

Pengkritik politik dan ekonomi, Hezri Sardi berkata, hanya perbincangan peringkat makroekonomi yang boleh membuat kesimpulan berkaitan ilmu ekonomi; berbanding perbincangan peringkat mikroekonomi yang tidak merangkumi keseluruhan aspek ekonomi.

- Advertisement -

“Sektor ekonomi sangat penting hingga semua orang mahu sembang pasal ekonomi. Namun, ada yang tak sedar kupasan ekonomi mereka tak sah kerana dah campur aduk antara mikroekonomi dan makroekonomi. 

“Ia umpama definisi bidaah dalam agama. Satu aliran kata itu salah. Satu aliran kata bidaah tu ada yang boleh, ada yang salah. Nampak macam agama Islam tu bercanggah teruk antara aliran, tetapi sebenarnya itu tak benar. 

“Aliran pertama (mengatakan) bidaah itu salah. Bidaah ialah adakan satu perkara baharu dalam agama (ibadah, akidah). Tambahan dalam perkara duniawi tak dikira seperti naik motor, sistem cukai baharu tak dikira bidaah.

“Aliran kedua (mengatakan) bidaah ada boleh (mahmudah), ada tak boleh (mazmumah). Bidaah boleh jika ia dalam urusan duniawi. Tak boleh jika urusan agama. Jadi, walaupun tampak bercanggah tapi sebenarnya ia tak bercanggah. 

“Dalam kedua-dua aliran, tokok tambah dalam agama tak boleh, tetapi selain agama boleh. Hanya perbezaan panggilan tapi makna sama,” jelas Hezri dalam satu kenyataan.

Perbandingan ekonomi, ilmu fizik dan kimia

Menurutnya lagi, analogi (perbandingan) bidaah tersebut boleh digunapakai untuk ekonomi… yang mana aliran pertama ialah perbincangan makro sahaja, yang boleh dikira sebagai ilmu ekonomi; berbeza dengan aliran kedua iaitu perbincangan ekonomi hanya sah jika makro dipisahkan daripada mikro. 

Kedua-duanya, ujar beliau, sebenarnya mempunyai maksud yang sama dan ramai pihak berbincang tentang ekonomi, namun tidak menyedari perbincangan mereka itu hanya di peringkat mikro yang dipanggil ‘micro-underpinning (penunjang mikro). 

“Ramai yang bercakap mengenai isu bisnes syarikat secara individu seperti KFC, KK Mart, ataupun kumpulan tertentu seperti pembeli atau pelabur atau industri misalnya industri pelancongan, dengan sangkaan bahawa (perbincangan) itu (kononnya) sedang mencari kesimpulan (tentang masalah) ekonomi. Sedangkan, itu semua bukan (tentang) ekonomi sebenarnya,” terang beliau.

Tambah beliau, konsep mikro perlu difahami terlebih dahulu sebelum memahami makro dengan membuat analogi (perbandingan) dengan unit terkecil dalam tubuh manusia dalam mata pelajaran fizik dan kimia.

“Unit terkecil adalah atom dan bukannya sel. Di dalam atom pula terdapat proton dan juga elektron yang merupakan peringkat mikro dalam ilmu fizik lama.

“Namun dalam (ilmu) fizik sekarang, elekton, (dan)  proton pun bukan (unit) paling kecil. Dipendekkan cerita, dalam satu unit terkecil badan manusia, benda tadi sebanyak 5 peratus sahaja, sedangkan baki 95 peratus hanyalah ruang kosong,” kongsinya.

Beliau menjelaskan lagi, jika semua unit kecil di peringkat mikro badan manusia digabungkan, 95 peratus daripada badan manusia  hanyalah sekadar ‘ruang kosong’. 

“Ia sama macam pokok, 95 peratus daripada pokok cuma ruang semata-mata. 

“Justeru, jika logik mikro diguna, apabila kita, manusia langgar pokok, kita sepatutnya boleh tembusi pokok sebab manusia dan pokok sama-sama terdiri daripada 95 peratus ruang. 

“Namun dalam dunia sebenar, logik mikro seperti zarah tak terpakai kepada benda lebih makro seperti satu set badan makhluk. Justeru, keadaan sesebuah syarikat atau industri tidak boleh disamakan seperti ekonomi negara,” jelas beliau.

Unit makro, mikro parti politik

Tambah Hezri, analogi kedua untuk menerangkan makro dan mikro adalah berkaitan unit paling kecil (mikro) dan tertinggi (makro/terbesar)dalam parti politik seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Unit paling kecil dalam parti politik, menurut beliau, ialah cawangan, dan unit paling tinggi (makro/terbesar) merujuk kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), yang mana jawatan-jawatan ini diundi oleh ahli parti tersebut.

“Di peringkat mikro, iaitu cawangan, pemimpin cawangan yang bagus ialah yang ada pengalaman menguruskan cawangan. Di peringkat atas sikit ialah..bahagian. Pemimpin bahagian yang bagus selalunya ialah pemimpin cawangan yang bagus. 

“Kalau sesuatu bahagian ada 40 cawangan, pemimpin bahagian yang bagus dikatakan mampu jadi pengurus kepada  40 \cawangan. 

“Pemimpin bahagian yang mampu  menguruskan 40 cawangan dikatakan lebih bagus daripada pemimpin bahagian yang hanya mampu uruskan tiga cawangan. Ini kerana sifat bahagian masih lagi mikro, cuma ia adalah lebih besar daripada cawangan. 

“Tapi jika kita menggunakan kriteria mikro tadi untuk memilih pemimpin MPT Kebangsaan, maka berlaku caca merba ‘Micro Underpinning. 

“Katakan seluruh negara parti BERSATU ada 4,000 Cawangan, maka kalau kriteria Ketua Bahagian mesti pandai uruskan 40 cawangan, seorang MPT mesti pandai uruskan 4,000 cawangan! 

“Ini tak masuk akal sebab otak seorang manusia itu mungkin boleh ‘multi functioning’ (berbagai fungsi) fikir 40 cawangan, tapi tak mungkin seorang tu boleh uruskan 100 cawangan, apatah lagi 4,000 cawangan,” ujar Hezri

Beliau menegeskan lagi, di sini, wujud  perbezaan kebolehan di peringkat MPT (makro) dengan bahagian atau cawangan (mikro). 

“Misalnya, MPT ada yang pandai dalam ilmu ekonomi, ada pandai dalam ilmu sejarah, ada yang pandai dalam propaganda.

“Kebolehan makro ini tiada kaitan langsung dengan menguruskan cawangan (mikro). Jadi, mana mungkin apabila wartawan soal seorang MPT tentang isu ekonomi, MPT itu sebaliknya sembang (ulas) tentang aktiviti cawangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -