Mungkin inilah hadiah hari lahir saya – Dr Yadzil

- Advertisement -

JASIN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub menyifatkan kesempatan membantu mencuci rumah mangsa banjir kilat di Kampung Gapam, malam semalam sebagai hadiah hari lahirnya yang jatuh pada hari yang sama.

- Advertisement -

Beliau yang ketika itu sedang dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur atas pelbagai urusan keluarga mendapat perkhabaran tentang perkara tersebut apabila dihubungi seorang rakan dari Jasin.

“Nak sambut hari lahir sendiri semalam pun tak sempat. Sebelum itu hantar anak balik asrama, sempat singgah dua rumah saudara untuk beraya. Itu pun sekejap-sekejap sebab takut tak sempat sampai asrama anak kerana jalan sesak.

“Dapat pula telefon dari sahabat di Jasin maklumkan banjir kilat di Gapam. Gundah gelana hati dibuatnya. Rasa tak sabar nak sampai Jasin melihat keadaan,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya petang tadi.

Tambahnya, beliau tiba di Jasin hampir jam 10 malam tadi dan terus singgah di lokasi berlakunya banjir kilat untuk menyantuni mangsa-mangsa terlibat.

“Hilang penat memandu bila bantu menolong tuan rumah membersihkan sisa lumpur yang ada. Mungkin inilah hadiah hari lahir saya.

“Mengingatkan saya untuk terus buat kebaikan dan tanggungjawab. Uban di rambut sentiasa ingatkan saya dengan kematian agar terus beribadat,” ujarnya.

Dr Yadzil yang juga Pengerusi Perhubungan PERIKATAN NASIONAL Melaka berkata, banjir kilat itu berlaku dipercayai berpunca daripada projek perumahan baru di kawasan Gapam yang tidak menyediakan saliran yang baik.

“Saliran yang ada pula semuanya dibebankan ke Sungai Gapam yang taklah sebesar mana. Kalau dulu belum ada perumahan yang banyak bolehlah menampung air yang ada.

“Tidak lagi sekarang. Penduduk tempatan maklumkan dah hampir dua tahun sungai tak diselenggara. Dah penuh dengan semak,” ujarnya.

Tambah beliau, daripada maklumat yang beliau terima, walaupun laporan telah dibuat namun tidak ada tindakan susulan dilakukan.

“Mungkin bajet tak ada. Tapi dah dua tahun, masih tak ada bajet? Dengar-dengar bajet JPS berjuta dah kena potong.

“Macam mana nak buat kerja kalau agensi kerajaan tak ada duit. Duit rakyat untuk rakyat. Perkara lain pula yang diutamakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -