Kesilapan manusia angkara ikut jejak iblis

Ustaz Ahmad Jailani Abdul Ghani
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah peribadi dan perniagaan suspek kejadian tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dengan isterinya semalam, sepatutnya boleh ditangani dengan baik.

- Advertisement -

Peguam Syarie, Ustaz Ahmad Jailani Abdul Ghani berkata, namun kesilapan tersebut telah diakhiri dengan tindakan di luar dugaan sehingga merosakkan masa depan diri sendiri angkara mengikut jejak langkah Iblis.

Beliau berkata, perbezaan ketara antara manusia yang baik dan jahat ialah cara mereka menghadapi masalah dalam kehidupan, kerana orang baik akan menangani masalah hidup mereka dengan kebaikan.

“Jika mereka melakukan kesilapan, ia akan diperbetulkan. Amal kebaikan menyusuli setiap kesalahan yang mereka lakukan. Inilah contoh yang kita pelajari daripada Nabi Adam dan Hawa.

“Mereka melakukan kesilapan tetapi dengan segera doa memohon ampun kepada Allah SWT dipanjatkan.

“Berbeza dengan orang jahat. Apabila mereka melakukan kesilapan pertama, langkah seterusnya adalah melakukan kesilapan kedua dan selanjutnya yang lebih besar dan serius.

“Itulah contoh yang dilakukan oleh Iblis. Tidak berpuas hati dengan perintah sujud, Iblis melakukan kesilapan kedua dengan menzahirkan takabbur dan sombongnya mengatakan dia lebih baik daripada Adam.

“Lebih dahsyat, dia kafir dan bersumpah untuk menyesatkan manusia hingga kiamat. Padahal berpunca dengan satu kesalahan sahaja,” tegas Ahmad Jailani dalammedia sosial rasmi miliknya, pada hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan suspek telah melepaskan tembakan ke arah balai ketibaan KLIA 1 pada pagi Ahad (14 April) dalam cubaan membunuh isterinya, namun terkena tembakan di perut pengawal peribadinya.

Terkini, menurut laporan media tempatan, selepas melarikan diri lebih daripada 36 jam, akhirnya suspek yang disyaki melepaskan tembakan di KLIA, Sepang ditahan polis di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad Jailani mengimbas kes yang berlaku sebelum ini di Malaysia antaranya pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang telah menggemparkan negara di mana bermula dengan tamak dalam urusan jual beli.

“Pembunuhnya sanggup membunuh kesemua empat orang mangsa dengan cara yang sangat kejam.

“Daripada hidup sebagai seorang peguam, si pembunuh telah dijatuhkan hukuman mati. Hanya dengan satu kesilapan, tetapi disusuli dengan kesilapan kedua yang lebih kejam.

“(Seterusnya) Pembunuhan Datuk Kevin Morrais, seorang Timbalan Pendakwa Raya juga mengejutkan.

“Mayatnya disimen dan dimasukkan ke dalam tong dram kemudian dibuang. Ia berpunca daripada perasaan tamak seorang doktor pakar patologi di sebuah hospital kerajaan.

“Tidak cukup dengan pendapatan yang sedia ada, terlibat dengan kes rasuah.

“Dendam dan marah kerana dikenakan pertuduhan rasuah doktor pakar berkenaan menyusuli kesalahan pertama tersebut dengan suatu tindakan yang jauh lebih besar dan kejam iaitu membunuh Timbalan Pendakwa Raya.

“Dan mayatnya disimen dan dimasukkan ke dalam tong dram. Dari kehidupan yang selesa sebagai doktor pakar akhirnya didapati bersalah kerana membunuh dan dihukum gantung sampai mati.

“(Akhir sekali imbasnya) Persaingan politik antara Datuk Mokhtar Hashim (pada waktu itu Menteri Belia dan Sukan) dan Datuk Taha (pada waktu itu Speaker DUN Negeri Sembilan) dalam Umno Negeri Sembilan telah menyebabkan Datuk Mohamad Taha Talib mati dibunuh.

“Sedangkan Datuk Mokhtar Hashim sudah berjawatan sebagai Menteri penuh. Tetapi kerana kedudukannya di Negeri Sembilan terancam dengan pengaruh Datuk Taha, maka riwayat Datuk Taha ditamatkan.

“Datuk Mokhtar Hashim didapati bersalah dan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Semua rayuannya gagal.

“Walau bagaimanapun Datuk Mokhtar Hashim terselamat apabila Lembaga Rayuan telah menukar hukuman mati kepada penjara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -