Seorang lagi cucu Ismail Haniyah syahid

- Advertisement -

AIDILFITRI lalu dunia gempar apabila kereta yang dinaiki oleh anak-anak dan cucu pemimpin HAMAS, Ismail Haniyah dibedil oleh Israel menyebabkan tujuh terbunuh dan seorang kanak-kanak cedera parah.

- Advertisement -

Hari ini (Isnin, 15 April) kanak-kanak berkenaan dilaporkan telah kembali ke rahmatullah. Cucu Ismail Haniyah itu bernama Mallak Muhammad.

Mereka yang terbunuh pada hari raya pertama itu ialah bapa Mallak, Muhammad Ismail dan dua orang abangnya Hazim dan Amir. Turut terbunuh ialah dua orang anak perempuan Hazim bernama Muna dan Amal serta dua orang anak lelaki Amir bernama Khalid dan Razan. 

Hanya Mallak yang terselamat dalam insiden itu, tetapi cedera parah. Hari ini Mallak menuruti jejak bapanya dan sepupu-sepupunya yang telah lebih dahului mendapat kemuliaan syahid. 

Selain lapan orang ini, hampir 60 orang dari keluarga Bani Haniyah telah dibunuh oleh rejim Zionis sejak perang meletus. 

Rabu lalu Israel mendakwa serangan dilakukan untuk menghalang mereka yang dalam perjalanan melaksanakan satu operasi ketenteraan. Mana mungkin operasi ketenteraan membawa lima kanak-kanak kecil!

Hari ini nama Mallak tercatat dalam senarai 14,000 syuhada kanak-kanak yang dibunuh tentera Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.  Semoga Allah merahmatinya.

USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -