Perantau lalu jalan kampung dapat minuman percuma

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri merakam penghargaan kepada penduduk khususnya anak muda yang mengagihkan minuman percuma kepada perantau yang melalui jalan kampung untuk pulang ke ibu kota.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sikap cakna anak Kelantan seharusnya dikekalkan kerana sanggup membantu pengguna jalan raya yang berdepan dengan kesesakan teruk.

Katanya ada penduduk tempatan yang menyumbang air secara percuma kepada anak perantau yang memasuki jalan kampung sebagai laluan alternatif.

“Semaikan budaya terpuji ini dan pada masa yang sama meninggalkan tabiat keji dan tidak baik pada pandangan masyarakat.

“Saya juga turut mendapat maklumat anak-anak muda kita bukan sahaja mengagihkan minuman, sebaliknya menunggu di cabang jalan tertentu bagi mengelak perantau tersesat,” katanya di sini hari ini.

Bermula Jumaat sehingga semalam penduduk di beberapa kampung mengagihkan air mineral dan air kotak kepada perantau yang melalui jalan-jalan kampung.

Antara laluan yang terlibat termasuk Kampung Bertam, Kampung Telekong dan Cucuh Puteri di Kuala Krai dan Batu Gajah di Tanah Merah.

“Mudah-mudahan dengan cara itu dapat menghiburkan anak-anak perantau ketika dalam perjalanan pulang ke destinasi masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -