Rumah Terbuka Aidilfitri jadi medan bertemu rakyat

- Advertisement -

PASIR MAS: Hampir 2,000 penduduk tempatan menghadiri Rumah Terbuka ADUN Pengkalan Pasir yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas hari ini.

- Advertisement -

Mereka berpeluang menikmati pelbagai juadah yang disediakan termasuk nasi gulai kawah, mee goreng, kwey teow goreng, kuih-muih dan minuman pelbagai perisa.

ADUN Pengkalan Pasir Mohamad Nasriff Daud berkata, kehadiran orang ramai dapat mengeratkan lagi hubungan dengan pemimpin.

Katanya sebagai wakil rakyat baharu beliau belum mengenali rapat penduduk di DUN Pengkalan Pasir.

“Dengan adanya program seperti ini dapat saya berkenalan rapat dengan penduduk tempatan. Malah kita juga berpeluang menyelami masalah yang mereka hadapi.

“Selain itu kita juga dapat bersua muka dengan sahabat handai yang telah lama tidak bertemu, di samping mengeratkan hubungan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Nasriff menggantikan Datuk Hanifa Ahmad mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Pasir pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas.

Sebelum ini beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -