Lama Kelantan dipinggir projek lebuh raya

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA KRAI: Projek pembinaan lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Kelantan yang menghubungkan Simpang Pelangai di Pahang ke Kuala Krai diharap dapat disiapkan segera.  

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, pembinaan lebuh raya itu perlu diberi keutamaan supaya ia berjalan lancar bagi mengatasi kesesakan pada setiap kali musim perayaan.

“Cukuplah kami dilayan sebagai negeri kelas kedua. Rakyat Kelantan juga pembayar cukai dan Kelantan juga sebahagian daripada Malaysia,” katanya di sini.

Projek LTU melibatkan pembinaan jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada kepada empat lorong dua hala.

Jalan tersebut hampir 299.4 km dari Kuala Krai ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Simpang Pelangai, Bentong, Pahang.

Abdul Latif juga berkata, berdasar banyak laporan tempoh perjalanan daripada Kota Bharu-Kuala Krai mengambil masa antara tiga hingga lima jam pada Sabtu dan semalam.

Malah kata beliau keseluruhan perjalanan ke Kuala Lumpur mencecah sehingga 15 hingga 20 jam.

“Itulah realitinya yang harus ditelan semenjak dahulu sehingga kini. Semuanya kerana kita ‘dianaktirikan’ semenjak dahulu lagi.

“Apa pun saya mengucapkan terima kasih kerana perantau yang sanggup pulang beraya di kampung halaman dan bersabar menempuh segala cabaran,” katanya.

Menurutnya juga ramai anak perantau menggunakan laluan alternatif melalui jalan kampung bagi mengelakkan kesesakan teruk di laluan utama ke Gua Musang. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -