Sambutan Hari Raya PAS Kelantan tidak guna wang kerajaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kelantan tidak menggunakan sebarang peruntukan kerajaan negeri bagi mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Khamis ini.

- Advertisement -

Setiausahanya, Wan Roslan Wan Hamat sebaliknya berkata, pihaknya mengerah kekuatan PAS kawasan untuk menyediakan makanan dan minuman kepada pengunjung yang datang.

“Ini merupakan tradisi kita sejak zamah arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz lagi dan kita teruskan sehingga sekarang.

“Khemah pun percuma sebab khemah yang digunakan pada program Madinah Ramadan,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah.

Wan Roslan juga berkata, dianggar lebih 50,000 tetamu hadir pada rumah terbuka tersebut yang akan bermula jam 10.30 pagi sehingga 2 petang.

Menurutnya tema Hari Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan tahun ini ialah Tahun Melawat Kelantan 2024 bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan di di negeri ini.

“Kali ini kita adakan pertandingan teh tarik yang disertai setiap PAS kawasan dan pertandingan pulut hijau.

“Selain itu pertandingan gerai tercantik, cabutan bertuah bagi pengunjung yang ke-2024 di mana hadiahnya sebuah motosikal elektrik,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -