Gangguan elektrik jejas operasi Loji Rawatan Air Chiku

- Advertisement -

KOTA BHARU: Gangguan bekalan air yang berlaku di Felda Perasu, Gua Musang disebabkan gangguan elektrik sehingga menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Chiku.

- Advertisement -

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada kenyataan memberitahu gangguan elektrik memberi kesan secara langsung kepada pengoperasian harian loji.

Gangguan bekalan elektrik berlaku sejak 2 Mac selama 2 jam 40 minit, 21 Mac (1 jam 30 minit), 25 Mac (1 jam), 26 Mac (3 jam 45 minit) dan 11 April (2 jam 30 minit).

Katanya, sebanyak 353 akaun pengguna terlibat, manakala 60 akaun pengguna pula terdiri daripada kawasan dan premis yang berada di penghujung paip dan kawasan tinggi.

“Pengeluaran air LRA Chiku beroperasi pada 7.5 juta liter sehari (JLH) dan pengeluaran air bersih dijangka akan beroperasi dengan kapasiti penuh sehingga 12 JLH pada Mei ini.

“Permintaan lebih tinggi berbanding pengeluaran di musim perayaan juga merupakan salah satu faktor ketidakcukupan bekalan air.

“Pengeluaran air semasa di semua Loji Rawatan Air ialah 526 JLH dan unjuran permintaan bekalan air semasa musim perayaan meningkat kepada 622 JLH,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya juga jangkaan waktu puncak penggunaan air bermula pada 8 sehingga 13 April lepas.

Selain itu Pasukan NRW (Non Revenue Water) AKSB Gua Musang juga giat mencari kebocoran paip di sekitar Felda Perasu memandangkan jumlah pengeluaran air tinggi, namun ia tidak sampai kepada pengguna.

“Dalam masa yang sama, Pelan Kesiapsiagaan Bekalan Air merangkumi kesemua jajahan operasi bagi memaksimakan keupayaan proses pembekalan air bersih,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -