Penduduk Taman Melati Indah `ganyang’ aedes

- Advertisement -

PADANG BESAR: Peningkatan bilangan kes demam denggi mendorong pelbagai pihak di negeri ini, menjalankan usaha mencegah wabak itu daripada terus merebak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun, bersama Majlis Perbandaran Kangar, turut mengadakan program Gotong Royong Ganyang Aedes bersama penduduk Taman Melati Indah di sini, semalam.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, selesai sudah Gotong Royong Ganyang Aedes bersama warga penduduk Taman Melati Indah.

“Taman Melati Indah merupakan kawasan wabak dan kes masih aktif. Ada orang takut nak pi (pergi), tetapi sebagai pemimpin kita perlu turun mencari penyelesaian,” katanya.

Turut serta menjayakan kempen ialah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Taman Melati Indah serta Jabatan Amal Negeri Perlis.

“Saya bersama MPKK Taman Melati Indah, Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Melati Indah, Majlis Perbandaran Kangar dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Jabatan Amal Negeri Perlis dan SWCorp bersama bergotong royong membanteras wabak denggi.

“Tujuan gotong royong adalah untuk memberi kesedaran kepada warga Taman Melati Indah supaya menjaga kebersihan rumah masing-masing dan kawasan sekeliling,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan dan Ahli Majlis Perbandaran Kangar, Abdul Ghafar Abd Halim.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini, sudah pasti semangat ukhuwah dalam kalangan semua pihak telah menjayakan program begini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/7/2023

- Advertisement -