Beratnya ujian, dalam meraih reda dan keampunan Allah S.W.T 

- Advertisement -

JIKA seseorang mengalami musibah bertubi-tubi dari bermacam-macam bentuk ujian, seperti terkena penyakit, masalah rumah tangga, penghasilan ekonomi yang berkurang, harta benda yang musnah kerana petaka alam, kehilangan orang tersayang dan pekerjaan dan macam-macam bentuk ujian lagi. Musibah ini menjadikan, hati dan dirinya lemah dan sedih, tertekan dan dada terasa sesak.

Kita hanya seorang hamba, kadangkala kita memang merasa bahawa musibah itu bertubi-tubi dan tak pernah berakhir. Bila kita berbicara soal penyakit, di bahagian mana kita yang sakit? Apakah seluruh tubuh kita yang sakit? Tetapi seolah-olahnya, hati merasakan bahawa seluruh tubuh kita yang sakit, sedangkan sebenarnya, masih banyak nikmat lain, yang Allah S.W.T berikan kepada kita.

Maka bagaimana, mengubati hati kita ini?

1)  Ketahuilah bahawa musibah itu penghapus dosa. 

Manusia sering alpa, leka dan lalai. Manusia juga sering terperangkap dalam dosa-dosa dan kemungkaran yang dilakukannya sendiri. Manusia selalu terjerat dengan bisikan nafsu dan syaitan. Lupa diri. Sehingga dikejutkan oleh sentuhan musibah dari Allah S.W.T, untuk manusia tersedar, ingat dan kembali kepada Allah S.W.T dan agar sentiasa dalam rahmat-Nya.

Daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Hurairah R.A, daripada Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: 

- Advertisement -

“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah S.W.T akan menghapus kesalahan-kesalahannya.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No : 5641, Muslim, No : 2573, at-Tirmizi, No : 966, Ahmad, No : 7684, 8070, 10714)

Maka, kita hendaklah reda dan bersabar, apabila diuji dengan musibah. Kita hendaklah yakini bahawa semua itu adalah penghapus dosa-dosa yang telah kita lakukan saban waktu. Janganlah merungut, mengeluh dan tidak berpuas hati dengan ujian Allah S.W.T itu, sehingga ada di antara kita yang menuding jari menyalahkan antara satu sama lain malah ada yang menyalahkan Allah S.W.T.

2) Kita mengingat kondisi orang-orang yang lebih parah musibahnya. 

Jadi, kalau kita ingat akan nikmat Allah S.W.T kepada kita, kita mesti bersyukur. Dan jangan jadi orang-orang yang tidak sabar, yang melupai nikmat Allah S.W.T di ketika ditimpa musibah.

Urwah bin Zubir, ketika kakinya dipotong dan ketika anaknya meninggal, yang paling tua yang menjadi harapannya, lalu, Urwah berkata sebelum ditanya, “Janganlah kalian risaukan apa yang kalian lihat. Allah S.W.T telah memberiku empat orang anak dan Dia berkehendak mengambil satu. Maka masih meninggalkan aku tiga anak yang lain. Alhamdulillah. Aku dikurniakan empat kekuatan lalu hanya diambil satu, maka masih tertinggal tiga. Alhamdulillah. Dia mengambil sedikit dariku dan masih banyak yang ditinggalkan-Nya untukku. Bila Dia menguji kesihatanku yang Dia kurniakan, tetapi masih banyak yang lain yang ditinggalkan.”

Hal ini masih menghiburkan hati Urwah dan dia masih bersyukur kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T bermaksud:

“Allah tidak memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengira kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang Engkau bebankan kepada orang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Maafkanlah kesalahan kami dan ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.”

(al-Baqarah: 286)

3) Menerima musibah dengan keredaan.

Ya, katakan sahaja bahawa ini sudah menjadi takdir Allah S.W.T:

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”

(Hadid: 22)

Jadi kita menerima dan berdamai dengan apa sahaja takdir yang kita hadapi kerana Allah S.W.T  akan berbuat apa yang Dia kehendaki.

Perkataan ‘Seandainya…’ membuka pintu syaitan, Ibnu Mas’ud R.A berkata; “Sungguh aku menggigit bara api hingga dingin lebih aku sukai daripada aku berkata kepada suatu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T: “Seandainya tidak terjadi…”” (Az-Zuhd, Abu Dawud halaman 128)

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, 

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah; dan pada keduanya ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada Allah (dalam segala urusanmu) serta janganlah sekali-kali engkau merasa lemah. Apabila engkau tertimpa musibah, janganlah engkau berkata, “Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini dan begitu”. Tetapi katakanlah, “Qadarullah wa ma sya-a fa’al (hal ini telah ditakdirkan Allah dan Allah berbuat apa saja yang dikehendaki-Nya). Kerana ucapan ‘seandainya’ akan membuka pintu perbuatan syaitan.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Dan bacalah doa di bawah ini di waktu pagi dan petang, untuk menguatkan hati kita. Yakinlah dengan maksudnya, sehingga apa sahaja yang Allah S.W.T takdirkan, kita terima. Dan yakinlah, Allah S.W.T akan lebih cinta dan reda kepada kita:

رَضِيْتُ بِاللهِ رَبًّا، وَبِالإِسْلَامِ دِيْنًا، وَبِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَبِيًّا وَرَسُوْلًا

“Kami reda Engkau sebagai Tuhanku. Islam sebagai agamaku dan Nabi Muhammad S.A.W sebagai Nabi dan Rasulku.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Jangan sekadar baca, tetapi baca dengan sepenuh rasa. Kita reda bahawa Allah S.W.T, Tuhan kita, yang mengatur semua urusan kita. Kita merancang dan Allah juga merancang, tetapi yang terbaiknya adalah perancangan Allah S.W.T. Kadang-kadang perancangan kita selaras dengan perancangan Allah S.W.T dan kadang-kadang tidak. Jadi, di Ketika tidak selaras, yang terucap dari lisan kita ‘رَضِيْتُ بِاللهِ رَبًّا 

Hamba reda ya Allah. Engkau Tuhan hamba. Engkau yang mengatur semua urusan hamba. Kata Nabi S.A.W, kalau seorang hamba membacanya setiap pagi dan petang, Allah wajib meredainya:

“Seseorang hamba Allah yang Muslim mengistiqamahkan bacaan zikir setiap pagi dan petang sebanyak tiga kali, pasti akan mendapat keredaan Allah sampai hari kiamat nanti.”

(Hadis Riwayat Al-Nasa’i)

4) Orang yang tidak reda dan marah-marah ketika diberikan ujian, tidak memberi apa-apa manfaat. Adakah dengan marah-marah, musibah yang menimpa, akan hilang atau kembali kepada kita? Tidak! Allah S.W.T juga menyeru golongan yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri supaya tidak berputus asa dengan rahmat dan pengampunan-Nya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(al-Zumar: 53)

Setiap insan berpeluang memperbaiki diri dan kembali bangkit sebagaimana seorang pekerja berpeluang memperbaiki prestasi kerjanya untuk tahun yang mendatang. Lihatlah dari ayat di atas, betapa lembutnya Allah S.W.T memanggil hamba-hamba-Nya untuk Kembali kepada-Nya.

Untuk itu, sudah menjadi kewajipan kita sebagai hamba-Nya untuk sentiasa mengharapkan rahmat daripada Allah S.W.T dan tidak berkeluh-kesah apatah lagi menyalahkan takdir atas apa yang berlaku.

Jika kita memilih sebaliknya dan mempertikai takdir Allah maka ia dicela oleh Allah seperti dalam Hadis Qudsi: 

“Barangsiapa yang tidak reda terhadap qadak Ku serta tidak sabar terhadap ujian Ku, maka carilah Tuhan lain selain Ku.”

(Hadis Riwayat Thabrani)

5) Memahami hakikat kehidupan dunia. 

Dunia ini memang negeri ujian. Kita tidak akan terlepas dari ujian. Setiap Muslim pasti merasai ujian dalam hidup. Mana mungkin orang beriman akan memperoleh pahala dan nikmat syurga tanpa sebarang ujian dan kesusahan. Cuma yang membezakan antara seorang Muslim dengan Muslim yang lain ialah bentuk ujian yang diterima. Mungkin bagi sesetengah orang yang melihat ujian yang menimpa orang lain, ia tidaklah satu ujian yang besar, namun hakikatnya orang yang melalui saat ujian tersebutlah yang lebih mengetahui:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang yang berdusta.”

(al-Ankabut:  2-3)

6) Mengetahui pahala yang besar buat orang yang sabar.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira.”

[al-Zumar : 10]

Antara Hadis yang menceritakan berkaitan kepentingan sabar ini adalah daripada seorang Sahabat bernama Khabbab bin al-Art. Beliau berkata: Kami mengadu kepada Rasulullah S.A.W ketika Baginda S.A.W beralaskan sehelai kain di sisi Ka’bah. Kami berkata: Tidakkah Baginda S.A.W memohon pertolongan kepada kami? Tidakkah Baginda S.A.W berdoa kepada kami?

Lalu Baginda S.A.W bersabda yang maksudnya: 

“Sesungguhnya sebelum daripada kamu, diambil lelaki lalu digali baginya lubang kemudian dihumbankan dia ke dalamnya. Terdapat juga yang didatangkan padanya dengan gergaji lalu gergaji tersebut diletakkan di kepalanya, kemudian digergajikan kepala tersebut sehingga terbelah kepada dua. Ada juga yang dicakar dengan cakaran besi sehingga memisahkan daging dan tulangnya. Ini semua tidak membuat mereka berpaling daripada agamanya (Islam). Demi Allah, akan sempurna perkara ini (Islam) sehingga seseorang pengembara itu mampu berjalan dari San’a hingga ke Hadharalmaut dan dia tidak takut melainkan Allah S.W.T dan tidak risau serigala akan menerkam kambingnya. Akan tetapi kamu tergesa-gesa (inginkan kemenangan atau hasil).”

(Hadis Riwayat al-Bukhari (6943))

7) Yakin bersama ‘kesulitan ada kemudahan’.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

“(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

(al-Insyirah: 5-6)

8) Minta pertolongan kepada Allah S.W.T, jangan mengadu dengan yang lain:

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

(al-Fatihah: 5)

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

(al-Baqarah: 45)

Ummu Salamah berkata, beliau pernah mendengar Rasulullah bersabda yang menganjurkan doa bagi mereka yang ditimpa musibah. Rasulullah menggunakan perkataan ‘musibah’ dalam doa itu yang bermaksud:

“Ya Allah, berilah ganjaran terhadap musibah yang menimpaku dan berilah ganti dengan yang lebih baik.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Jangan lari, berhadapan dengan masalah, sandarkan pengharapan kepada Allah S.W.T dan Kembali kepada Allah S.W.T. Jangan merasa tidak dapat kebahagiaan bersama cara hidup Islam, kerana hakikatnya, kebahagiaan itu di hati kita bukan pada benda. Contohnya, Nabi S.A.W dan para Sahabat sendiri diusir dari Makkah dan berhijrah tanpa membawa apa-apa harta dan keluarga.

9) Kesabaran itu pada hempasan yang pertama.

Hakikat sabar yang sebenarnya adalah saat pertama kali seseorang mendapatkan musibah. Mereka mengatakan ‘Inna lillahiwa inna ilaihi rajiun’. Jadi jangan mengadu kepada makhluk. Tiada yang berputus asa kecuali orang yang kafir.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: 

“Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, yang berputus asa daripada rahmat Allah hanyalah orang-orang kafir.”

(Yusuf : 87)

Dari Sahabat Shuhaib bin Sinan, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Sungguh mengagumkan urusan orang mukmin, sungguh semua urusannya baik baginya, yang demikian itu tidaklah dimiliki seorang pun kecuali hanya orang yang beriman. Jika mendapat kebaikan (kemudian) ia bersyukur, maka itu merupakan kebaikan baginya, dan jika keburukan menimpanya (kemudian) ia bersabar, maka itu merupakan kebaikan baginya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

10) Jangan terburu-buru dan jangan berputus asa. 

Kemudahan itu akan datang. Sepanjang mana pun malam itu, ia akan pergi dan akan diganti dengan fajar yang terang bersinar. Itulah hakikatnya kehidupan.

Justeru, setiap Muslim hendaklah sentiasa bersikap tenang dan sabar dalam melakukan sesuatu perkara. Sikap ini amat diutamakan, kerana ianya akan mendatangkan fokus yang akhirnya akan menatijahkan sesuatu hasil yang baik dan sempurna. 

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Wahai manusia, hendaklah kamu bertenang, kerana sesungguhnya kebaikan bukan (diperoleh) dengan tergesa-gesa.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Berdoa dan mengadu kepada Allah S.W.T atas ketidakmampuan kita. Jadi jangan putus asa dan jangan tergesa-gesa untuk mendapatkan solusi daripada Allah. 

Nabi Yusof A.S, 40 tahun kemudian baru berjumpa dengan ayahnya. Bersabar! Kejayaan bukan dengan waktu yang singkat.

Nabi Muhammad S.A.W, hijrah ke Madinah. Bila Beliau balik semula ke Makkah? Setelah 7 tahun! Baru boleh datang ke Makkah, kampung halaman Beliau dan baru boleh melihat Kaabah lagi. Solusinya kena sabar.

Jadi jangan terburu-buru dan jangan tergesa-gesa. Yakin dengan janji Allah S.W.T yang bermaksud: ‘Bersama kesusahan itu, kemudahan!’ Kadang kala orang itu dibersihkan dahulu, benar-benar dibersihkan oleh Allah S.W.T dengan diberikan musibah, sehingga akhirnya dia layak untuk mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah S.W.T. Kedudukan yang tidak boleh dicapai oleh amalan tetapi reda Allah S.W.T.

Kesimpulan

Memetik Hadis daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

 “Allah S.W.T berfirman: “Aku! Allah, menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Jika dia menyangka baik kepada Aku, maka baginya kebaikan, sangka baiknya kepada Aku dan jika dia menyangka dengan sangkaan buruk kepada-Ku, maka baginya keburukan, sangkaan buruknya kepada-Ku.””

(Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Wallahu’lam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 24/7/2023

- Advertisement -