Cacar monyet: Amaran WHO buat golongan gay

- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

GENEVA: Lima hari selepas mengisytiharkan cacar monyet (monkeypox) sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran agar golongan gay mengurangkan kegiatan seks songsang mereka bagi mengawal penularan wabak itu di seluruh dunia.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, lelaki gay dan biseksual menyumbang 98 peratus daripada kes cacar monyet di seluruh dunia, tetapi sebarang individu yang terdedah kepada virus itu berisiko dijangkiti.

- Advertisement -

“Majoriti jangkitan cacar monyet telah ditemui dalam kalangan lelaki yang mempunyai berbilang pasangan seks.

“Virus cacar monyet boleh disebarkan melalui sentuhan kulit ke kulit tetapi ia boleh merebak, contohnya, pada tuala atau katil yang tercemar. Kanak-kanak, wanita hamil dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah dianggap antara yang paling berisiko terhadap wabak ini,” jelasnya pada sidang akhbar di ibu pejabat WHO, di sini, pada Rabu (27 Julai).

Menurut beliau, cacar monyet adalah wabak yang boleh dihentikan, jika setiap negara, komuniti dan individu memaklumkan pada diri sendiri, mengambil risiko dengan serius, dan mengambil langkah yang diperlukan untuk menghentikan penularan dan melindungi kumpulan individu yang paling berisiko terhadap wabak itu.

Tedros mengeluarkan kenyataan media berbaur amaran khusus buat golongan gay pada 27 Julai 2022, lima hari hari selepas beliau mengisytharkan wabak cacar monyet sebagai sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan di peringkat antarabangsa. (FOTO Nature)

“Bagi golongan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, buat masa ini, disarankan kurangkan bilangan pasangan seksual anda, mempertimbangkan semula hubungan seks dengan pasangan baharu dan bertukar butiran hubungan dengan mana-mana pasangan baharu untuk membolehkan tindakan susulan jika perlu,” tegasnya.

Tedros memberi amaran bahawa ‘stigma dan diskriminasi boleh mendatangkan bahaya seperti mana-mana virus, dan boleh mencetuskan wabak’ dan beliau  menggesa syarikat media sosial untuk memerangi ‘maklumat salah dan palsu’ tentang penyakit itu.

WHO melahirkan kebimbangan virus itu mungkin berkembang dan mula menjangkiti lebih ramai orang di peringkat global, lapor Courthousenews.

Wabak cacar monyet kini sudah menular di seluruh dunia dengan 95 peratus daripada kes dilaporkan berlaku di benua Eropah dan Amerika. (FOTO CNBC)

Merujuk kepada data Our World, hampir 19,000 kes cacar monyet telah dilaporkan di 78 negara seluruh dunia, dengan lebih daripada 70 peratus daripada kes yang disahkan ditemui di benua Eropah dan 25 peratus di Amerika. Sepanyol, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan Perancis telah melaporkan kebanyakan daripada kes tersebut.

“Sejak wabak itu bermula, lima kematian disebabkan oleh cacar monyet telah dilaporkan dan kira-kira 10% daripada jangkitan membawa kepada kemasukan ke hospital.

“Semakin lama virus cacar monyet  itu terus menular, semakin banyak peluang yang ada untuk terus mengubah suai atau bermutasi. Adalah sangat penting, penularan cacar monyet di seluruh dunia diperlahankan,”  kata Rosamund Lewis, Ketua Teknikal WHO, Rosamund Lewis.

Sehubungan itu, WHO mengesyorkan golongan  yang paling berisiko terdedah kepada virus cacar monyet termasuk pekerja kesihatan, sebilangan pekerja makmal harus segera mendapatkan vaksin.

“Satu vaksin cacar monyet, dikenali sebagai MVA-BN, telah diluluskan di Kanada, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat  untuk digunakan bagi melawan cacar monyet. Dua lagi vaksin sedang dipertimbangkan. Terdapat kira-kira 16 juta dos MVA-BN kini tersedia di seluruh dunia,” lapor pula CNBC memetik kenyataan Tedros.

Namun Tedros berkata,  keberkesanan vaksin terhadap cacar monyet masih tidak pasti kerana kekurangan data dan mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk vaksin memberikan perlindungan terhadapp jangkitan virus itu.

Virus cacar monyet ialah virus orthopox yang menyebabkan penyakit dengan simptom yang serupa, tetapi kurang teruk, kepada cacar. 

Ia boleh menyebabkan demam, nodus limfa bengkak dan ruam pada muka, tapak tangan, tapak kaki dan alat kelamin.

Cacar telah dihapuskan pada tahun 1980, tetapi cacar monyet terus berlaku di negara-negara Afrika Tengah dan Barat. Kes cacar monyet pertama dikesan pada tahun 1970 di Republik Demokratik Congo.

Cacar monyet disebarkan daripada haiwan kepada manusia dengan kebanyakan kes ditemui berhampiran dengan hutan hujan tropika, lokasi di mana terdapat haiwan yang membawa virus itu.

Sehingga kini terdapat kira-kira 16 juta dos MVA-BN tersedia di seluruh dunia untuk melawan wabak cacar monyet. (FOTO Pink Sheet- Informa)

Penularan dari manusia ke manusia sebelum ini adalah terhad, namun dalam mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global, Tedros mengambil langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan menolak jawatankuasa kecemasan pakar-pakar yang bersidang,  yang saling tidak bersependapat  dalam  menilai risiko wabak itu. 

Pada bulan Jun lalu, jawatankuasa pakar berkenaan menolak untuk  melabelkan wabak itu sebagai kecemasan antarabangsa, sehinggalah pada Sabtu (23 Julai) lepas, Tedros akhirnya mengklasifikasikan wabak  cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan di peringkat antarabangsa, tahap amaran tertinggi agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Selain cacar monyet, polio dan Covid-19 adalah dua penyakit lain yang kini diklasifikasikan sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa. 

Istilah pandemik bukanlah klasifikasi rasmi WHO, tetapi agensi itu mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada Mac 2020 untuk membunyikan ‘loceng penggera yang kuat dan jelas’,  seperti yang ditegaskan Tedros pada ketika  itu. – HARAKAHDAILY 28/7/2022

- Advertisement -