Pemuda mahu jadi duta PAS bantu masyarakat majmuk

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota membuktikan bahawa kepentingan masyarakat majmuk sebagai rakyat Malaysia sentiasa menjadi sebahagian kebertanggungjawaban parti Islam ini.

Prihatin dengan situasi kehidupan ketika ini yang berdepan cabaran pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sumbangan khusus kepada penduduk kaum India telah diadakan di sekitar Bukit Sekilau, di sini baru-baru ini.

Sumbangan yang diharap dapat meringankan sedikit beban dihadapi serta sebagai berkongsi rasa sesama anggota masyarakat ini berupa beras dan baucar pembelian barangan dapur di Pasaraya Semambu Mart (SMART), Kuantan.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Indera Mahkota, Ustaz Zulfadli Zakariah berkata, agihan ini adalah untuk menyantuni masyarakat India di samping bertanya khabar perkembangan semasa mereka yang merupakan penduduk di sini.

“Kita juga berhasrat agar usaha ini menjadi pencetus kepada jalinan hubungan baik bersama mereka di samping mempertautkan lagi hubungan dengan mereka,” ujarnya.

Beliau yang juga sebagai Pengarah Jabatan Penerangan Pemuda PAS Negeri Pahang mengharapkan agar dengan sumbangan yang dihulurkan dapat sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penerima.

Beliau juga berkata, Pemuda PAS Indera Mahkota bercadang untuk menyantuni masyarakat India ini sekali lagi sebelum menjelang perayaan Deepavali pada bulan Oktober atau November 2021 nanti.

Dalam masa sama ujar Zulfadli, seluruh masyarakat tanpa mengira kaum sama ada Melayu, India dan Cina sama-sama akan terus dibantu dalam suasana dan masa sekarang yang mencabar ini.

Pengerusi Pertubuhan India Prihatin Pahang, Kalawathi Mariappan dalam pada itu turut hadir dalam program ini sangat berterima kasih dan memuji sikap prihatin Pemuda PAS di atas keprihatinan terhadap kesusahan penduduk.

Program ini juga dihadiri oleh Naib Yang Dipertua PAS Indera Mahkota, Khaspi Kosnin dan Ketua PAS Cawangan Bukit Sekilau, Mohd Zainuddin Mohd Noor bersama ahli jawatankuasanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -