Penemuan ikan lumba-lumba di Kuala Perlis perkara biasa

Foto hiasan
- Advertisement -

KUALA PERLIS: Kejadian ikan lumba-lumba terdampar di pantai dan kelibat  mamalia laut itu di sekitar perairan di sini adalah perkara biasa, kata Pengarah Pejabat Perikanan Negeri Perlis Ismail Ibrahim.

Beliau berkata setiap tahun perairan Kuala Perlis menjadi salah satu tempat persinggahan kumpulan ikan tersebut dalam perjalanan merentas Selat Melaka ke Lautan Hindi.

- Advertisement -

“Mamalia laut seperti ikan lumba-lumba dan ikan paus singgah di sini (perairan Kuala Perlis) pada setiap September mungkin kerana tarikan sumber makanan seperti ikan yang banyak,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa insiden nelayan menemukan dan menyelamatkan ikan lumba-lumba yang terdampar di Kampung Sungai Baru, di sini baru-baru ini.

Katanya antara spesies yang ditemui adalah ikan lumba-lumba jenis Irrawandy atau nama sainstifiknya Local Empesut, ikan lumba-lumba Bottlenose dan ikan Paus Yu.

Beliau berkata bulan ini Jabatan Perikanan Negeri Perlis menerima dua laporan nelayan menyelamatkan anak dan ibu ikan lumba-lumba jenis Irrawaddy pada Jumaat (3 Sept) dan seekor ikan lumba-lumba Bottlenose pada Selasa yang terdampar, selain satu kes penemuan bangkai ikan tersebut pada Isnin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada nelayan yang bertindak pantas menyelamatkan tiga ekor ikan lumba-lumba berkenaan dan segera melaporkan kepada pihak jabatan.

“Kita bercadang melakukan latihan simulasi menyelamatkan mamalia laut tersebut bagi memastikan para nelayan dapat maklumat kaedah yang betul menyelamat dan merawatnya sebelum dilepaskan semula ke tengah laut,” katanya sambil memaklumkan bangkai ikan lumba-lumba yang ditemukan telah ditanam dan tiada siasatan punca kematian memandangkan bangkai mamalia itu semakin membusuk. – BERNAMA

- Advertisement -