Strategi bila kalah hujah

- Advertisement -

SIFAT yang baik apabila terbukti kita salah ialah mengakui kesalahan kita. Di antara kebaikannya ialah orang akan mengetahui kejujuran kita dan mereka tidak akan jemu untuk terus memberi nasihat atau teguran yang bermanfaat kepada kita.

Malangnya, tidak semua manusia begitu sifatnya. Ada orang yang ingin sentiasa kelihatan menang dan betul walaupun sebenarnya dia sudah terbukti tewas dan salah.

- Advertisement -

Teringat saya kepada seorang peguam yang sangat senior. Dalam kes yang sudah jelas tidak berpihak kepada anak guamnya, beliau tetap akan berhujah walaupun sebenarnya tidak relevan pun dengan kes yang beliau kendalikan. 

Beliau dikenali dengan sikap suka membuat penghujahan yang tebal dan akan dimasukkan nas undang-undang atau authority yang tidak berkaitan pun. Semuanya itu dibuat untuk kelihatan hebat walaupun tiada nilai pun sebenarnya. Orang Pulau Pinang kata ‘gempak saje lebih’. Kami di kalangan peguam selalu ketawa kalau cerita beliau disebutkan dalam perbualan kami.

Perkara yang sama dilakukan oleh individu tertentu. Apabila berhujah dalam media sosial, di kala buntu tiada hujah, nanti group WhatsApp tersebut akan dilambakkan dengan link video, artikel dan lain-lain yang tidak menjawab pun isu yang diperdebatkan. Kenapa? Kalau tidak boleh yakinkan mereka, kelirukan mereka. If you can’t convince them, confuse them.

Penyakit ini juga melanda segelintir para guru atau penceramah. Apabila gagal menjawab kritikan ilmiyyah, maka jawapan yang mudah ialah seperti berikut:

a. Ini ilmu sangat dalam. Bukan sebarang orang boleh berbicara. Hanya orang yang kasyaf yang dibuka hijab oleh Allah S.W.T yang boleh memahami permasalahan ini.

b. Belajar dulu bagi habis. Enta belajar kitab dari kulit ke kulit ke?

c. Orang fekah memang tidak akan faham selagi mereka tidak mendalami Tasawuf.

d. Orang awam memang susah nak faham sebab mereka berada pada martabat awam iaitu martabat yang rendah. Ada ilmu yang lebih tinggi dan ilmu ini diperolehi oleh ulamak Arif billah yang memperolehinya melalui ilham dan mimpi.

e. Banyak lagi skema jawapan yang sering digunakan untuk menutup kesilapan atau jenayah ilmiyyah yang dilakukan.

Namun, bagi orang yang betul disiplin ilmunya, mudah untuk membezakan di antara kebenaran dengan kepalsuan. Semua ini tentunya dengan taufiq dan hidayah Allah S.W.T.

AHMAD JAILANI ABDUL GHANI – HARAKAHDAILY 6/10/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/725494683/posts/10160038314624684/?sfnsn=mo

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -