Mencerap ‘Orion Nebula’ di kanvas cakerawala

- Advertisement -

BURUJ yang membawa maksud gugusan bintang yang kelihatan membentuk corak tertentu di langit pada waktu malam. Ia mempunyai masa tertentu untuk muncul kerana kedudukannya sentiasa berubah mengikut putaran bumi pada paksinya dan mengikut peredaran bumi mengelilingi orbitnya.

Di Malaysia, keunikan bentuk buruj yang dapat dilihat dengan mata kasar pada malam gelap yang tiada pencemaran cahaya ini, boleh digunakan sebagai penanda arah untuk mencari arah kiblat melalui beberapa buah bintangnya.

- Advertisement -

Imej Orion Nebula ini, diambil menggunakan kamera Sony A7 II menerusi lensa Jupiter 37 A 135mm f/3.5, shutter speed 5 saat, ISO 3200 di Pantai Tanjung Gosong, Tanjung Selangor, Serandu, Pekan, Pahang dan ketika itu, ia berada di atas ufuk lebih kurang jam satu pagi.

Orion Nebula atau Buruj Belantik terdiri daripada tujuh bintang utama yang lebih cerah berbanding bintang yang lain iaitu empat daripadanya membentuk segiempat tepat manakala tiga lagi terletak sederet melintang di tengah segiempat tersebut.

Berdasarkan bentuknya itu, orang Melayu di Nusantara menamainya Belantik, iaitu sejenis alat perangkap binatang manakala tiga bintang sederet itu pula dipanggil sebagai Bintang Tiga Beradik.

Sementara itu, ahli astronomi Arab pula menamakannya (dari kanan ke kiri) sebagai Mintaka, Alnilam, dan Alnitak sempena tali pinggang pemburu (Orion the Hunter) tersebut.

Apabila diamati ke bawah sedikit, terdapat pula tiga bintang yang lebih kecil yang membentuk seakan pedang yang diletakkan di sisi pemburu dan di situlah terletaknya Nebula yang terkenal iaitu Nebula Belantik yang terdiri daripada kepulan awan debu antaranajam dan gas, malah Nebula ini menjadi tempat kelahiran bintang baharu.

Menurut jurugambar astrofotografi, Muhammad Luqmanulhakim Azmi, tiga bintang (Orion’s belt) yang bersusun sejajar iaitu Mintaka, Alnilam dan Alnitak boleh dijadikan panduan untuk menentukan arah kiblat kerana buruj ini akan membentuk satu garis lurus yang sentiasa menghalakan garisannya terus ke arah kaabah.

Buruj Orion akan berada di langit Malaysia ketika waktu subuh pada bulan Julai dan kelihatan tinggi di langit waktu tengah malam pada bulan Disember. 

Pada bulan Mac dan mana yang berhampiran dengannya, buruj Orion akan berada di tengah langit ketika waktu maghrib. Arah kiblat boleh diketahui dengan mengunjurkan arah bintang tiga berderet berkenaan ke arah barat,’ jelas peminat astronomi ini.

Beliau turut menambah bahawa, Orion Nebula ini merupakan Nebula yang paling cerah dan dapat dilihat dengan mata kasar di kawasan tanpa gangguan pencemaran cahaya.

ZAITON ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -