RAUB: Keadilan kepada semua adalah perkara teramat penting sekali sehingga Islam mengharamkan kezaliman kepada diri sendiri, apatah lagi kepada orang lain di mana tanggungjawab ini tentunya lebih besar kepada jemaah Islam.
Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor membawa intipati tersebut dalam taujihat beliau pada program Gelombang AKIFI Dewan Muslimat PAS Kawasan Raub secara dalam talian baru-baru ini.
Kupasnya, perkara tersebut berkait dengan memikul amanah yang sangat berat tuntutannya bagi seorang ahli gerakan Islam kerana membawa urusan dakwah dan siyasah ke atas seluruh umat manusia.
Jelas beliau, ianya adalah tuntutan ketujuh mesti dipenuhi seorang Mukmin sebagai ‘check point’ yang akan disemak ke atas dirinya sendiri sebelum ke perhitungan dengan melalui Titian Sirat semasa di akhirat kelak.
Penyampaian Salamiah itu dipetik dari buku Nota Kepada Diri tulisan mantan Al-Mursyidul Am PAS, Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai tujuh ‘check point’ sebelum menempuh Titian Sirat.
Terdahulu sebelum menghurai mengenai memikul amanah tersebut beliau menerangkan mengenai lainnya iaitu mengucap kalimah syahadah; solat lima waktu; berpuasa Ramadan; menunaikan zakat; mengerjakan Haji serta thaharah.
“Amanah yang berat (sedang kita pikul inilah) yang kelak sama ada memberatkan timbangan amal kita ataupun sebaliknya di timbangan al-Mizan,” ujarnya memetik ayat dari surah as-Saff mengenai kurniaan Allah atas mereka yang berjuang untuk agama-Nya.
Jelasnya, apabila berada dalam jemaah akan dapat melaksanakan kerja-kerja membantu agama Allah sebagaimana teladan ditunjukkan kaum Muhajirin A.S sehingga mereka dijanjikan dapat minum dari Telaga Kautsar di Syurga kelak.
Sebab kata Ustazah Salamiah, merekalah terawal bersusah payah bersama Rasulullah S.A.W menegakkan Islam dan menghadapi tentangan para Musyrikin yang begitu kuat memusuhi perjuangan dibawa Nabi Muhammad.
Untuk itu serunya, ahli-ahli PAS termasuk Muslimat di negeri Pahang ini mesti menjadi pelopor yang bekerja keras memenangkan PAS pada PRU akan datang meredah segala onak duri dalam menunaikan amanah perjuangan.
Majlis berlanjutan dengan zikir munajat yang dipimpin Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Raub, Ustazah Syuhada Amer dan berakhir sekitar jam 10:30 malam. – HARAKAHDAILY 19/9/2021