T’ganu lulus tambahan RM3.385 juta untuk pondok, tahfiz, SAR

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM3.385 juta kepada sekolah pondok, sekolah agama rakyat (SAR), pusat tahfiz dan institusi pendidikan agama persendirian di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata inisiatif itu dibuat bagi membolehkan setiap pusat pendidikan terbabit meneruskan kelangsungan mendidik modal insan.

- Advertisement -

Katanya, ia sekali gus menzahirkan komitmen kerajaan dalam menjadikan sektor pendidikan agama sebagai pelaburan yang berbaloi dengan melahirkan modal insan berkualiti.

“Sebanyak 140 institusi pendidikan dalam kategori itu yang mendapat manfaat terbabit untuk tahun 2021.

“Ia bagi memastikan kesemua 140 institusi terdiri daripada pondok-pondok, Sekolah Agama Rakyat, Tahfiz dan juga institusi pendirian agama yang ada dalam negeri ini terus bernafas dalam suasana yang penuh mencabar ini,” jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.

Untuk rekod, sebelum ini kerajaan juga telah mengagihkan bantuan kepada guru agama melalui Skim Al-Ghazali.

“Dengan memberi insentif secara bulanan kepada guru-guru sekolah agama swasta dan seumpamanya.

“Kita telah memperuntukkan sebanyak RM5.3 juta daripada awal Januari sehingga Disember iaitu seorang guru menerima sebanyak RM900,” katanya.

Tambahnya lagi, bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjumlah RM1.14 juta dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga turut berperanan memastikan institusi pendidikan agama terus berkembang. – TRDI.my

- Advertisement -