Peralihan Lembah Klang ke Fasa 2 PPN:Rakyat gembira tapi berwaspada

Faten Saphilla
- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Orang ramai menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan memberi kebenaran merentas daerah dan melancong dalam negeri yang sama mulai esok, 10 September 2021.

Hasil tinjauan HarakahDaily, rata-rata orang ramai melahirkan rasa teruja, namun tetap akan sentiasa berwaspada dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan.

- Advertisement -

Seorang penulis konten di sebuah syarikat swasta, Faten Saphilla Mohamed Isa, 38, yang tinggal di Bandar Baru Bangi, Selangor berkata, dia menyambut baik keputusan kerajaan yang menetapkan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya beralih ke fasa 2 kerana sebelum ini pergerakannya terbantut sekiranya mempunyai urusan termasuk bekerja di luar daerah Bangi seperti di Kuala Lumpur.

Menurutnya, meskipun rakyat diberi kebenaran merentas daerah, ini bukan bermakna orang ramai boleh sesuka hati merentas daerah misalnya untuk bertemu rakan-rakan atau saudara-mara, mahupun melancong dalam negeri yang sama kerana mereka masih perlu menjaga SOP.

“Jangan terlalu gembira dan leka walaupun Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya sudah beralih ke fasa 2 kerana pandemik Covid-19 masih wujud. Justeru, orang ramai masih perlu berhati-hati dan menjaga SOP sepanjang masa seperti memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri.

“Saya dan suami sudah lengkap dua dos vaksin tetapi saya mempunyai tiga orang anak  masing-masing berusia 11, 9 dan 3 tahun yang masih belum lagi divaksin. Kami sekeluarga gemar melancong tetapi langkah berjaga-jaga masih perlu diambil untuk melindungi keluarga saya,” katanya lagi.

Sementara bagi pelajar, Mohammad Firdaus, 19, pula dia berasa gembira tetapi dalam masa yang sama mengakui turut dilanda kebimbangan.

“Saya gembira Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor memasuki fasa 2 bagi memudahkan pergerakan di Lembah Klang termasuk sudah dibenarkan menonton wayang di pawagam, tetapi dalam masa yang sama masih bimbang disebabkan kes baharu Covid-19 yang masih tinggi. Jumlah kes baharu Covid-19 yang diumumkan pada hari ini ialah 19,307 kes,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Mohammad Firdaus

Firdaus yang tinggal di Damansara berkata, dia memang gemar menonton wayang di pawagam dan melancong sebelum era pandemik Covid-19 melanda negara tetapi masih khuatir untuk ke pawagam biarpun sudah mendapat kebenaran pihak kerajaan disebabkan perasaan bimbang masih menebal, walaupun dia sudah lengkap divaksinasi.  

Seorang lagi penduduk di Lembah Klang, eksekutif pembangunan perniagaan di sebuah syarikat swasta, Muhammad Fikri Ab Rahman, 26, berkata, pengumuman tentang kawasan Lembah Klang memasuki Fasa 2 PPN merupakan satu berita baik buat dirinya yang menetap di Seri Kembangan, Selangor.

“Apabila kawasan Lembah Klang diumumkan beralih ke fasa 2, saya menarik nafas lega kerana ia memudahkan saya untuk merentas daerah termasuk untuk pergi ke tempat kerja di Cyberjaya,” katanya yang kini bekerja dari rumah.

Muhammad Fikri

Menurutnya lagi, dia sememangnya menunggu-nunggu kebenaran daripada kerajaan seperti untuk dine-in (makan di dalam premis menjual makanan), menonton wayang di pawagam, melancong dalam negeri yang sama, beriadah dan sebagainya selepas sekian lama Selangor merupakan negeri yang paling sukar untuk melonggarkan SOP memandangkan jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 yang dicatat adalah tertinggi di negara ini.

“Kes jangkitan baharu di Selangor yang diumumkan hari ini berjumlah 2,700 kes, kedua paling tinggi selepas Sarawak (3,118 kes) berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Namun begitu, sebagai warga Selangor saya akui teruja kerana akhirnya dapat merasai kebebasan yang selama ini dinanti-nantikan selepas kadar vaksinasi di negeri ini meningkat hari demi hari dan seterusnya mencapai imuniti kelompok,” katanya. 

Terdahulu, mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 bersetuju untuk membenarkan peralihan ke Fasa 2 PPN bagi kawasan Lembah Klang berkuat kuasa mulai esok.

Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, keputusan peralihan ke fasa 2 yang membabitkan negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu dicapai menerusi mesyuarat yang diadakan pada Rabu lepas.

Antara kelonggaran yang diberikan untuk negeri-negeri fasa 2 ialah kebenaran merentas daerah dan melancong dalam negeri yang sama dengan melibatkan penginapan di hotel serta homestay bagi individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin- HARAKAHDAILY 9/9/2021