Membuktikan Islam itu jalan selamat

- Advertisement -

ALLAH S.W.T menceritakan di dalam al-Quran beberapa bukti bahawa sesiapa yang mengikut panduanNya, pasti akan selamat. Allah S.W.T bukan hanya meng‘claim’ bahawa jalanNya selamat, akan tetapi membuktikan dengan beberapa kisah. Sekiranya ada yang melontarkan argumentasi terhadap kisah tersebut, kajilah. Pasti akan menemui kesahihannya.

- Advertisement -

Di bawah ini beberapa gambaran kisah-kisah tersebut yang terang-terang membuktikan kekuasaan Allah S.W.T. Kalau ikut bahasa orang Barat, mereka menganggap kisah-kisah ini sebagai satu kisah yang ‘magic’. Sepatutnya kisah-kisah inilah yang perlu mereka teliti dan kaji.

Bagaimana Allah S.W.T menyelamatkan Ashabul Kahfi?

Kisah yang paling utama ialah kisah Ashabul Kahfi. Kisah ini menggambarkan betapa mereka berhadapan dengan situasi fitnah yang menyesatkan. Mereka tiada tempat untuk bergantung, melainkan hanya berdoa memohon petunjuk kepada Allah S.W.T.

Antara yang didoakan oleh mereka sepertimana firmanNya;

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(al-Kahfi: 10)

Lalu, antara panduan yang diberikan oleh Allah S.W.T agar terselamat aqidah mereka ialah;

وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا

“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna.”

(al-Kahfi: 16)

Di sana ada beberapa gambaran yang Allah S.W.T tunjukkan bagaimana mereka itu terselamat sekalipun gua yang mereka diami itu pintunya luas dan tidak berpagar:

1. Dalam ayat 17 Surah al Kahfi, Allah S.W.T menggambarkan kedudukan gua yang strategik. Gua itu kekal gelap, sama ada waktu siang, ataupun malam. 

2. Dalam ayat 18, Allah S.W.T menggambarkan bagaimana mereka itu dilihat seolah-olah sedang berjaga, sedangkan mereka itu sedang tidur nyenyak.

3. Dalam ayat yang sama, Allah S.W.T menyelamatkan tubuh mereka daripada rosak disebabkan baring terlalu lama. Justeru, tidur dalam keadaan tubuh badan yang bergerak dan beralih-alih.

4. Dalam ayat ini juga, Allah S.W.T menggambarkan anjing yang disebut sebagai Qitmir, berada di pintu gua, seolah-olah sedang menjaga pintu gua tersebut.

Gambaran-gambaran ini sebagai contoh bagaimana Allah S.W.T menyelamatkan mereka, agar akidah mereka itu tidak tersesat sepertimana yang menimpa kaumnya. Sebab itulah ayat 17 Allah S.W.T menyatakan:

ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ ۗ مَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا

“… Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.”

Ayat ini menggambarkan bahawa mereka yang bersungguh menjaga iman mereka, dan berusaha untuk tidak hanyut dengan kesesatan masyarakat, diselamatkan oleh Allah S.W.T. Secara realitinya, mereka itu sudah tiada tempat bergantung. Negara mereka yang diperintah oleh raja yang zalim, telah mem‘program’kan kesesatan terhadap kaum itu.

Kaum mereka itu digambarkan hanya mengikut sahaja ‘programming’ yang ditetapkan oleh raja tersebut tanpa ilmu dan kefahaman (Dogmatisme). Hal ini digambarkan dalam ayat sebelum itu, yang menjadi ungkapan para Ashabul Kahfi;

هَٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ آلِهَةً ۖ لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍ ۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا

“(Mereka berkata pula sesama sendiri): “Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.”

(al-Kahfi: 15)

Bagaimana Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Musa A.S?

Nabi Musa A.S digambarkan di awal kemunculannya sebagai seorang dari kalangan Bani Israel yang akan menjatuhkan Firaun. Lantas, disebabkan kegusaran tersebut, Firaun telah mengarahkan semua kanak-kanak lelaki Bani Israel dibunuh. Kita semua tahu, Firaun berbangsa Qibti (kulit hitam) sudah tentu sangat mudah dibezakan dengan Bani Israel yang berkulit putih.

Hal ini digambarkan oleh Ibnu Kathir bagi firman Allah S.W.T dalam ayat 4 Surah al Qashash;

إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِي الْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَائِفَةً مِّنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَاءَهُمْ وَيَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ ۚ إِنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.” 

Imam Ibnu Kathir menyatakan;

فبشر إبراهيم عليه السلام ولده أنه سيولد من صلبه وذريته من يكون هلاك ملك مصر على يديه

Ketika mana Nabi Ibrahim A.S bertemu Raja Mesir yang mengganggu Sarah, Baginda A.S ada menyatakan bahawa keturunannya yang akan lahir akan menjadi faktor kepada kejatuhan Raja Mesir.

Kenyataan Nabi Ibrahim A.S terdahulu ini, telah disampaikan kepada Firaun pada zaman Nabi Musa A.S. Ini menyebabkan Firaun yang merupakan Raja Mesir ketika itu, bimbang dijatuhkan oleh kelompok Bani Israel yang merupakan keturunan Nabi Ibrahim A.S. Disebabkan itulah, beliau mengambil tindakan untuk membunuh semua kanak-kanak lelaki Bani Israel.

Dalam situasi genting ini, Allah S.W.T tetap berkuasa menyelamatkan Nabi Musa A.S sekalipun Baginda A.S masih bayi. Antaranya;

وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّ مُوسَىٰٓ أَنْ أَرْضِعِيهِ ۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِى ٱلْيَمِّ وَلَا تَخَافِى وَلَا تَحْزَنِىٓ ۖ إِنَّا رَآدُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ

“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.”

(al Qashash: 7)

Imam Ibnu Kathir menyatakan lokasi rumah mereka ketika itu berada di muara Sungai Nil, sebab itulah peti itu dilepaskan di laut. Peti yang menempatkan Nabi Musa A.S itu bukan hanya dilepaskan di situ, akan tetapi bergerak melalui aliran Sungai Nil, sehinggalah dipungut oleh orang-orang Firaun.

Nabi Musa A.S yang masih bayi dibawa ke Firaun. Jelas kelihatan bayi tersebut berkulit putih, yang boleh dibezakan dengan bayi orang Qibti. Namun, dengan kuasa Allah S.W.T, Nabi Musa A.S bukan hanya diselamatkan, bahkan membesar dalam istana Firaun sendiri.

Baginda A.S membesar, dan akhirnya menjadi penentang kepada Firaun. Kesudahannya, Firaun mati tenggelam di Laut Merah ketika dalam misi menentang Nabi Musa A.S. Kisah ini jelas membuktikan bahawa apabila Allah S.W.T wahyukan kepada ibu Nabi Musa A.S bahawa Nabi Musa A.S akan selamat, pasti selamat.

Tiada siapa yang boleh menghalang misi Allah S.W.T. Walaupun semua bayi Bani Israel dibunuh, Nabi Musa A.S tetap selamat dengan izinNya. ‘Misi’ Allah S.W.T itu ialah melantik orang-orang yang tertindas di negeri itu sebagai pemimpin. Ia digambarkan dalam ayat;

وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ

“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).”

(al-Qashash: 5)

Kisah Nabi Musa A.S ini di‘highlight’ oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran, memberi pengajaran kepada Nabi S.A.W sekalipun Baginda S.A.W tidak hidup di zaman Nabi Musa A.S itu:

وَمَا كُنتَ بِجَانِبِ الطُّورِ إِذْ نَادَيْنَا وَلَٰكِن رَّحْمَةً مِّن رَّبِّكَ لِتُنذِرَ قَوْمًا مَّا أَتَاهُم مِّن نَّذِيرٍ مِّن قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

“Dan engkau juga tidak berada dekat Gunung Tursina ketika Kami menyeru (Nabi Musa dan memberi wahyu kepadanya dahulu), tetapi (diturunkan) rahmat (Al-Quran) dari Tuhanmu (menerangkan Kisah itu) supaya engkau memberi amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang Rasul pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran (serta insaf mematuhinya).”

(al Qashash: 46)

Ayat ini disampaikan kepada kita, supaya kita mengambil iktibar, bahawa sesiapa yang dijanjikan oleh Allah S.W.T untuk selamat, pasti selamat. Begitulah yang dijanjikan oleh Allah S.W.T bagi mereka menjadikan wahyuNya sebagai panduan, pasti selamat.

Bagaimana Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Yusuf A.S?

FirmanNya:

لَّقَدْ كَانَ فِي يُوسُفَ وَإِخْوَتِهِ آيَاتٌ لِّلسَّائِلِينَ

“Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya (mengenai hal mereka untuk mengambil iktibar).”

(Yusuf: 7)

Nabi Yusuf A.S bermula dengan kisah yang merisikokan nyawanya. Beliau diletakkan oleh abang-abangnya di dalam perigi buta. Secara logiknya, tidak mungkin kanak-kanak seusia itu mampu memanjat ke atas perigi itu. Tetapi dengan kuasa Allah S.W.T, Baginda A.S bukan hanya selamat dari perigi itu, tetapi diangkat menjadi Menteri pula.

Dalam ayat 9 Surah Yusuf, Allah S.W.T menggambarkan bahawa abang-abangnya itu ada keinginan untuk membunuhnya. Atau sekurang-kurangnya dibuang di satu tempat yang jauh:

اقْتُلُوا يُوسُفَ أَوِ اطْرَحُوهُ أَرْضًا يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ وَتَكُونُوا مِن بَعْدِهِ قَوْمًا صَالِحِينَ

“(Ramai di antara mereka berkata):” Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna”.”

Akan tetapi salah seorang dari kalangan mereka, mencadangkan supaya diletakkan di dalam perigi buta, supaya dipungut oleh para pedagang yang melintasi kawasan itu. FirmanNya:

قَالَ قَائِلٌ مِّنْهُمْ لَا تَقْتُلُوا يُوسُفَ وَأَلْقُوهُ فِي غَيَابَتِ الْجُبِّ يَلْتَقِطْهُ بَعْضُ السَّيَّارَةِ إِن كُنتُمْ فَاعِلِينَ

“Salah seorang di antara mereka berkata: “Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu”.”

(Yusuf: 10)

Sepertimana yang saya nyatakan di awal tadi, sekiranya Allah S.W.T tetapkan selamat, maka selamatlah. Demikianlah bagaimana Allah S.W.T menyatakan perkara yang sama kepada Nabi Yusuf A.S;

وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمْرِهِمْ هَٰذَا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

“…. dan kami pula ilhamkan kepadanya: “Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka mengenai hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi).” 

(Yusuf: 15)

Ternyata, beliau memang terselamat. Beliau diselamatkan oleh para pedagang yang melintasi perigi itu, untuk mengambil air di situ kerana menyangkakan ada air. Kemudian beliau dibawa sehingga ke Mesir. Di sana, beliau dijual, dan kemudiannya dibeli.

Setelah mencapai umur matang, beliau digoda. Namun akhirnya beliau lebih memilih penjara. Ini kerana penjara itu lebih selamat buat dirinya, agar terpelihara daripada tipu daya:

قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ ۖ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ الْجَاهِلِينَ

“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.””

(Yusuf: 33)

Ketika di dalam penjara, dua orang banduan bertanyakan kepadanya maksud mimpi mereka, kerana melihat Nabi Yusuf A.S orang yang soleh. Setelah menafsirkannya, ternyata tafsirannya betul. Salah seorang daripada banduan itu dibebaskan dari penjara sepertimana yang ditafsirkan oleh Nabi Yusuf A.S.

Sampai satu ketika, raja juga mengalami satu mimpi, dan mencari siapakah yang mampu menafsirkan mimpinya. Banduan yang terselamat tadi, menceritakan mengenai perihal Nabi Yusuf A.S yang boleh menafsir mimpi. Ketika itu beliau masih dalam penjara. Lalu beliau dipanggil ke istana untuk menafsirkan mimpi raja.

Tafsirannya itu memberikan kepercayaan kepada raja. Lalu Baginda A.S ditawarkan dengan jawatan yang tinggi oleh raja. Namun, Baginda A.S menolaknya. Sebaliknya memilih untuk diposisikan di jawatan bahagian perbendaharaan yang lebih sesuai dengan kepakarannya, untuk menguruskan bencana. 

Ketika inilah beliau diangkat menjadi Menteri. Jelas sepertimana yang saya nyatakan di awal tadi, sekiranya Allah S.W.T menjanjikan seseorang itu selamat, pasti selamat. Sekalipun melalui ranjau kehidupan yang perit di peringkat permulaan. 

Wahyu memandu cara berfikir menuju jalan selamat

Berdasarkan tiga kisah yang saya nyatakan ini, Allah S.W.T bukan sahaja menyatakan bahawa wahyuNya adalah jalan selamat. Akan tetapi membuktikan dengan kisah-kisah ini, supaya kita meyakini bahawa sesiapa yang mengikut jalanNya, pasti selamat:

1. Ashabul Kahfi yang tidak mahu terjebak dengan kesesatan umatnya, tetapi mereka berdoa kepada Allah S.W.T memohon petunjuk. Lalu Allah S.W.T memberikan petunjuk jalan yang selamat, dan Allah S.W.T menyelamatkan mereka. 

2. Ketika bayi, Nabi Musa A.S yang nyaris-nyaris dibunuh oleh tentera Firaun, akhirnya selamat dengan izinNya. Bukan hanya selamat, tetapi membesar dalam istana Firaun sendiri. Benar, apabila Allah S.W.T nyatakan selamat, pasti selamat. Tiada siapa boleh menghalang ‘misi’ Allah S.W.T untuk menaikkan golongan tertindas sebagai pemimpin.

3. Nabi Yusuf A.S nyaris-nyaris mati dalam perigi buta. Kemudian dipenjara pula. Tetapi akhirnya diselamatkan oleh Allah S.W.T. Bukan hanya diselamatkan, tapi jadi Menteri pula. Ditawarkan dengan kedudukan yang tinggi sebagai orang kepercayaan raja. Ini kerana, Allah S.W.T telah menjanjikan bahawa Baginda A.S pasti selamat.

Jika kita perhatikan, ketiga-tiga kisah ini sudah sedia diketahui oleh Yahudi dan Nasrani yang mendominasi dunia Barat hari ini. Mereka tahu mengenai ketiga-tiga kisah ini. Mereka tahu bahawa perancangan Allah S.W.T itu hebat. Tetapi mereka tetap menjalankan rencana yang jahat terhadap umat Islam yang berpegang dengan kebenaran. 

Umat Islam pula, kadangkala Islam itu diragukan oleh orang Barat yang didominasi oleh Yahudi dan Nasrani. Mereka meragukan umat ini, adakah benar Islam itu sebagai penyelamat. Yahudi Nasrani melancarkan perang pemikiran bagi menampakkan ideologi-ideologi Barat sebagai penyelamat di zaman krisis, bukannya Islam: 

1. Kapitalisme contohnya memperkenalkan idea untuk menyelamatkan krisis ekonomi. Namun, akhirnya Kapitalisme ini melahirkan para penindas ekonomi

2. Sekularisme contohnya, memperkenalkan konsep untuk menyelamatkan politik daripada dipengaruhi oleh agama. Namun, akhirnya penganut Sekularisme menjadi politikus yang jahat.

3. Anarkisme contohnya, memperkenalkan kebebasan kononnya manusia itu terpenjara dengan undang-undang. Namun akhirnya melahirkan generasi yang menjadi liar.

4. Liberalisme contohnya, memperkenalkan kebebasan kononnya manusia itu terkongkong dengan kawalan agama. Namun, akhirnya mereka melahirkan masyarakat yang tidak berpedoman seperti LGBT.

Justeru, benarlah sepertimana yang dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran, bahawa wahyuNya itu adalah jalan selamat. Nabi S.A.W bersabda;

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ 

“Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.”

Allah S.W.T menjanjikan bahawa al-Quran dan Hadis itu penyelamat, maka, pasti selamat bagi mereka yang benar-benar mengikut keduanya. Bukan sekadar meng‘claim’, tetapi telah terbukti kuasa Allah S.W.T menyelamatkan sesiapa yang telah dijanjikan selamat.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -