Mualaf perjuangan

- Advertisement -

SEJARAH gemilang Islam sangat indah untuk dikenang. Ia terbina dari para Mustad’afin dan pemuda yang hanya mencari keredhaan Allah. Ranjau yang mereka lalui di awal Islam adalah motivasi perjuangan yang menjadikan mereka ampuh menerjah taufan dan badai Musyrik Jahiliyyah.

Siapa tidak kenal Mus’ab bin Umair yang dilatari kemewahan menjadi seperti gelandangan kerana pertahan akidah dan perjuangan. Ia mendapat kemuliaan dari Rasulullah S.A.W menjadi daie pertama menyebarkan Islam di Yatsrib memimpin dua belas naqib yang disebut al-Quran. Akhirnya beliau menempa kejayaan gemilang membina asas menyambut Rasulullah S.A.W membina negara Madinah.

- Advertisement -

Generasi ikhlas inilah yang menjadi teras dakwah permulaan Islam. Mereka tiada cita-cita kemewahan dan kuasa. Hanya mencari keredhaan Allah yang Maha Kuasa. Rasulullah S.A.W membina kekuatan Islam tidak hanya dari mereka yang telah lama bersama Baginda. Ada di kalangan mereka yang baru bersama Baginda, namun miliki kesungguhan jihad dan keikhlasan yang tinggi. Golongan ini turut diberi kepercayaan memimpin tentera yang sebahagiannya disertai Sahabat besar Rasulullah S.A.W.

Amru al As yang memeluk Islam setelah Perjanjian Hudaibiyah bersama Khalid al-Walid terus diberi kepercayaan memimpin tentera. Antara perang besar yang terkenal pimpinan Amru adalah Dzatus Salasil yang turut di sertai Abu Bakar dan Sahabat besar yang lain. Peperangan ini terkenal kerana larangan memasang unggun api dan hanya bertayammum untuk solat kerana musim sejuk. Amru baru masuk Islam kurang dua tahun.

Khalid juga dipilih memimpin tentera Islam dan mendapat gelaran Pedang Allah dari Rasulullah S.A.W dalam Perang Mu’tah. Perang yang berlaku dalam tahun lapan Hijrah. Kira-kira setahun selepas Khalid memeluk Islam.

Kedua tokoh ‘mualaf’ ini terus memimpin perang besar dan berjaya membuka Negara jahan Rom dan Parsi era Khulafa Rasyidin.

Abu Sufyan al Haris yang begitu kuat memusuhi Islam akhirnya memeluk Islam selepas Fathu Makkah. Beliau adalah antara sepupu Rasulullah S.A.W. Ketika tentera Islam diserang di lembah Hunain, beliau antara Sahabat yang tidak melepaskan tali kenderaan Rasulullah S.A.W mempertahankan Baginda dari baki kecil tentera Islam yang berselerakan lari kerana terkejut dengan serangan mengejut musuh.

Apa yang penting dalam perjuangan Islam ialah keikhlasan. Bukan baru dan lama. Sejarah banyak mengukir nama ‘mualaf’ yang menjadi penyebar Islam. Di negara kita juga kita dapat melihat nama nama ‘mualaf’ mendepani usaha dakwah kepada bukan-Islam.

Kita tidak perlu berbangga lamanya kita menjadi Muslim atau lamanya kita dalam perjuangan Islam. Namun kita perlu menilai pengorbanan dan kerja buat kita untuk Islam dan perjuangan. Berapa banyak sumbangan harta, masa dan usaha untuk perjuangan. Tidak perlu berbangga ‘lamanya’ dalam perjuangan jika hanya menjadi ‘kupang tembaga’. Perjuangan Islam memerlukan jihad dan keikhlasan.

Tiba masanya kita menilai diri agar tidak berbangga lamanya dalam Islam atau perjuangan Islam, namun hanya menjadi dedalu yang berbangga berada di puncak di saat kemenangan Islam. Menikmati hasil kemenangan dan berbangga dari usaha Mukhlisin lain.

Islam memerlukan amilin yang ikhlas dalam perjuangan. Memberi dunia untuk akhirat. Bukan memburu dunia atas nama akhirat.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 22/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000122032873/posts/7056935157653815/

- Advertisement -