Makna zaman fitnah dan pesan-pesan Nabi

- Advertisement -

BAHASA Melayu banyak meminjam kalimah-kalimah dari Bahasa Arab. Kadang-kadang, perkataan dalam Bahasa Melayu tidak menggambarkan makna yang menyeluruh jika dibandingkan dengan Bahasa Arab, sekalipun kalimahnya kedengaran sama.

Hal ini termasuklah ketika membicarakan soal makna zaman fitnah. Bagi orang Melayu, perkataan fitnah itu membawa maksud sebatas tuduhan-tuduhan palsu. Adapun dalam Bahasa Arab, ia membawa maksud yang jauh lebih luas. Apatah lagi jika difahami melalui konteks al-Quran dan Hadis, kita akan fahami bahawa fitnah adalah segala bentuk ujian yang menguji jati diri agama umat Islam.

- Advertisement -

Makna fitnah

Pensyarah bidang falsafah Islam di Universiti Khartum, Dr. Sabri Muhammad Khalil telah menyenaraikan beberapa pandangan dari ilmuwan-ilmuwan Bahasa Arab berkenaan makna kalimah fitnah. Secara asasnya dari sudut bahasa, fitnah bermaksud dugaan dan ujian. Itulah yang dikemukakan antaranya oleh Imam al-Azhari.

Kalimah fitnah juga terpakai apabila terjebak dalam situasi yang tidak disukai oleh Allah, kufur, azab, pembunuhan, tersekat dari terus melangsungkan hidup di jalan yang benar dan tersesat dari petunjuk. Imam Ibnu Jarir al-Tabari menyatakan bahawa fitnah itu adalah kekeliruan yang berlaku hingga kebenaran dan kebatilan itu menjadi kabur untuk dikenal pasti. Beliau turut menjelaskan ia bermaksud terjebak ke dalam maksiat dan hipokrasi.

Imam Ibnu al-A’rabi berpandangan fitnah membawa makna tribulasi dan konflik yang berlaku sesama manusia. Imam al-Qurtubi pula menjelaskan fitnah juga bermaksud tekanan yang menyebabkan jalan untuk bersama kebenaran itu akan disekat, bahkan akan sentiasa ditolak. Manakala Imam Ibnu Hayyan menyatakan fitnah adalah penyesatan yang berlaku. Bermaksud fenomena yang akan mengubah hidup kita beransur-ansur menjadi sesat.

Makna zaman fitnah.

Jika kita meneliti tafsiran-tafsiran para ulamak berkenaan kalimah fitnah, ia membolehkan kita untuk memahami bahawa zaman fitnah adalah zaman:

a. Majoriti manusia kehilangan pedoman. Al-Quran dan Sunnah tidak dijadikan sebagai sumber rujukan hidup dalam erti kata yang sebenar.

b. Kekeliruan berlaku dengan cukup rancak menyebabkan paradigma manusia menjadi songsang. Kebenaran dianggap batil dan perkara batil dianggap benar.

c. Jalan untuk melangsungkan agenda-agenda yang baik akan semakin disempitkan, disalahertikan, malah disekat. Kebaikan dan kejujuran sukar mendapat tempat jika dibandingkan dengan penipuan dan pengkhianatan.

d. Kezaliman, penindasan, krisis, dan peperangan demi peperangan meletus.

e. Kejahilan hati dan ilmu dianggap biasa, menyebabkan kejahilan cara fikir mengambil alih kaedah penilaian manusia.

f. Pertimbangan untung rugi dunia lebih diutamakan dan diangkat sebagai penentu, berbanding penilaian akhirat.

Mungkin banyak lagi maksud zaman fitnah yang boleh kita fahami jika dipadankan dengan Hadis-hadis Nabi berkenaan tanda-tanda hampirnya kiamat. Cuma yang pasti, apabila disebutkan zaman fitnah, ia adalah zaman iman orang-orang beriman akan ditekan.

Jagalah diri

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ ۖ لَا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ ۚ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu. Tiadalah orang yang sesat itu mampu memudaratkan kamu apabila kamu telah beroleh hidayah. Hanya kepada Allah kamu semua akan kembali. Maka Dia akan memberitakan kepada kamu apa yang telah kamu lakukan.”

(al-Maidah: 105)

Imam Ibnu Kathir menafsirkan bahawa Allah menyuruh orang-orang beriman agar sentiasa memperbaiki diri mereka dengan terus melangsungkan kebaikan semampu mungkin. Ayat ini juga bermaksud jati diri orang-orang beriman itu tidak akan boleh dipengaruhi oleh kerosakan golongan-golongan yang rosak.

Jika kita meneliti tertib kedudukan ayat ini, kita terlebih dahulu akan berjumpa dengan ayat 104 sebelumnya yang menyuruh agar menjauhkan diri dari ketaksuban secara membuta tuli tanpa ilmu. Selepas ayat yang menyelar budaya Fanatisme itu, barulah dikemukakan pesanan agar orang-orang beriman harus pandai menjaga diri.

Pesanan Nabi berkenaan gejala zaman fitnah

Seorang Sahabat yang bernama Tha’labah al-Khusyani pernah bertanya kepada Nabi, apakah maksud di sebalik ayat:

“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu…”

(al-Maidah: 105)

Maka Nabi menjawab dengan Hadis yang panjang, sebagai tafsiran kepada ayat di atas:

‏ بَلِ ائْتَمِرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَتَنَاهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ حَتَّى إِذَا رَأَيْتَ شُحًّا مُطَاعًا وَهَوًى مُتَّبَعًا وَدُنْيَا مُؤْثَرَةً وَإِعْجَابَ كُلِّ ذِي رَأْىٍ بِرَأْيِهِ فَعَلَيْكَ – يَعْنِي بِنَفْسِكَ – وَدَعْ عَنْكَ الْعَوَامَّ فَإِنَّ مِنْ وَرَائِكُمْ أَيَّامَ الصَّبْرِ الصَّبْرُ فِيهِ مِثْلُ قَبْضٍ عَلَى الْجَمْرِ لِلْعَامِلِ فِيهِمْ مِثْلُ أَجْرِ خَمْسِينَ رَجُلاً يَعْمَلُونَ مِثْلَ عَمَلِهِ

“Teruskanlah olehmu untuk selalu menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Sehinggalah kamu akan melihat sifat kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan kehidupan dunia yang diutamakan. Serta orang akan merasa terpesona dengan pandangan masing-masing. Maka (ketika itu) kamu perlu bergaul hanya dengan orang-orang yang searah denganmu sahaja dan jauhilah orang-orang kebanyakan. Maka sesungguhnya setelah zamanmu akan datang zaman penuh ujian, orang-orang yang berpegang teguh dengan agama seperti menggenggam bara api. Ketahuilah saat itu orang yang terus berusaha berpegang dengan agamanya akan beroleh pahala umpama 50 orang yang turut melakukan amalnya yang sama.” 

(Hadis Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim.

Hadis ini lengkap menceritakan perihal gejala zaman fitnah:

a. Bermula dengan dakwah sebagai benteng iman umat Islam. Jika ia tidak dilangsungkan dengan kadar yang cukup, maka akan berleluasalah penyakit-penyakit jiwa yang akan merosakkan agama.

b. Dalam keadaan yang serba rosak itu, Nabi menyuruh agar pandai memilih lingkungan yang baik. Sekali gus usah mudah terpengaruh dengan arus massa yang tabiatnya merosakkan. 

c. Ketika itu kejahilan dilestarikan dan dibanggakan. Maka kekeliruan semakin melata.

d. Lantas Nabi menggambarkan bahawa untuk istiqamah dengan agama itu sangat sukar ibarat menggenggam bara api. Kuncinya adalah sabar.

e. Akhir sekali Baginda mengkhabarkan janji yang baik. Sesiapa yang tetap dengan agama ketika zaman tersebut, maka amalannya akan digandakan seumpama 50 orang. Terdapat riwayat yang lain, Nabi mengkhabarkan gandaan itu bersamaan pahala 50 orang para Sahabat.

Hadis-hadis sokongan

Terdapat beberapa Hadis petanda hampirnya kiamat yang mengingatkan soal penyakit jiwa yang bersangkutan dengan sikap individualistik, kesedaran beragama yang semakin terhakis dan fikrah materialistik yang merosakkan jiwa manusia. Antaranya:

إِنَّكُمْ سَتَلْقَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً فَاصْبِرُوا حَتَّى تَلْقَوْنِي عَلَى الْحَوْضِ ‏

“Sesungguhnya kamu akan menyaksikan sikap pentingkan diri selepasku. Maka bersabarlah hingga kamu bertemu denganku di Haud (telaga Nabi).”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Begitu juga menyentuh berkenaan penyakit gilakan dunia, sehingga manusia sudah tidak menghiraukan soal pertimbangan halal haram:

لَيَأْتِيَنَّ علَى النَّاسِ زَمانٌ، لا يُبالِي المَرْءُ بما أخَذَ المالَ، أمِنْ حَلالٍ أمْ مِن حَرامٍ

“Akan datang satu zaman ke atas manusia, mereka sudah tidak peduli dari mana datang hartanya. Apakah dari sumber yang halal atau haram.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Nabi turut menjelaskan bahawa ketika paradigma manusia telah disongsangkan, maka akan melatalah kejahilan. Bahkan Baginda turut mengaitkan kemunculan Dajal dengan fenomena terhakisnya kesedaran beragama akibat menuruti hawa nafsu dan hilangnya kesedaran terhadap ilmu:

يَخْرُجُ الدَّجَّالُ في خفقةٍ من الدِّينِ، وإدبارٍ من العلمِ

“Dajal akan keluar di tengah-tengah kekosongan dari agama dan di saat ilmu ditinggalkan.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Ternyata Hadis ini mendedahkan faktor kerosakan itu adalah kerana kejahilan hati dan kejahilan ilmu. Dari kejahilan itulah akan menatijahkan pelbagai implikasi. Antaranya manusia akan terarah untuk mengangkat pemimpin-pemimpin yang menyesatkan:

إِنَّمَا أَخَافُ عَلَى أُمَّتِي الْأَئِمَّةَ الْمُضِلِّينَ 

“Sesungguhnya aku bimbang menimpa ke atas umatku adalah, pemimpin-pemimpin yang menyesatkan.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Dalam riwayat yang lain, Baginda turut menggambarkan ujian dikuasai oleh pemimpin yang menyesatkan itu lebih dibimbangi oleh Nabi, berbanding fitnah Dajal yang sudah dimaklumi akan kedahsyatannya. Begitu juga terdapat peringatan Nabi yang lain berkenaan gejala manusia gemar menaikkan orang-orang jahil sebagai pemimpin mereka. Lalu berlakulah fenomena penyesatan.

Seterusnya berkaitan pesanan agar pandai memilih teman yang baik, mesej seumpama ini telah ditekankan secara khusus di dalam al-Quran melalui kisah Ashabul Kahfi. Mereka memiliki jati diri agama yang kukuh berpandukan ilmu, tidak terpengaruh dengan arus massa dan tidak hanyut dengan suasana yang merosakkan. Menyentuh soal uzlah, Ustaz Fathi Yakan telah mengemukakan penjelasan dari Said Qutb:

“Sesungguhnya menjadi satu kemestian supaya wujud barisan hadapan yang berazam mencapai cita-cita ini (Islam), terus mara di jalan ini, mara terus menghancurkan jahiliyyah yang bermaharajalela di serata pelosok bumi. Mara terus dalam usaha mengasingkan jiwa. Di samping terus mengadakan hubungan jasadiyyah di sudut yang lain.”

Begitu juga terdapat Hadis yang mengingatkan bahawa jika diberikan pilihan, maka pilihlah menjadi golongan yang tetap dengan kebenaran sekalipun kelihatan lemah. Dalam erti kata lain, zaman fitnah menyaksikan kebatilan itu dominan, sementara kebenaran itu akan diperlecehkan:

يأتي عليكُم زمانٌ يُخيَّرُ فيهِ الرَّجلُ بينَ العَجزِ والفُجورِ ، فمن أدرَكَ ذلِكَ الزَّمانَ ، فليختَرِ العجزَ على الفُجورِ

“Akan tiba ke atas kamu, satu zaman apabila seseorang diberikan pilihan antara kondisi yang serba lemah dan kondisi kejahatan. Maka sesiapa yang bertemu dengan zaman tersebut, hendaklah dia memilih sebagai pihak yang lemah (ditekan) berbanding menjadi pihak yang jahat.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Saat segala kerosakan berleluasa, sememangnya untuk istiqamah dengan Islam itu amat sukar. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi. Fitnah Islamofobia hari ini tidak jauh berbeza dengan gambaran Hadis yang mengibaratkan berpegang dengan agama ibarat menggenggam bara api.

Jika kita menelusuri Hadis-hadis yang mengingatkan topik gejala-gejala zaman fitnah, sudah pasti kita akan dapati terlalu banyak pesanan Nabi yang sangat relevan untuk ditelaah sentiasa. Ia sebagai peringatan yang penting, apatah lagi gejala-gejala yang diingatkan itu boleh disaksikan berlaku di zaman kita.

Kesimpulan

Jika kita benar-benar faham makna zaman fitnah, maka kita pasti akan merasa berat terhadap tanggungan agama. Adalah silap jika kita katakan sekarang sebagai zaman fitnah, tetapi tetap menjadikan keuntungan dunia sebagai ukuran dan tetap mendahulukan kemenangan di dunia berbanding prinsip kebenaran yang akan menentukan nasib di akhirat.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 9/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000623571778/posts/4586284121402328/

- Advertisement -