APMM tahan 2 bot, rampasan bernilai RM2.5 juta

- Advertisement -

Oleh ZULKIFLI HUSSIN

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan dua buah bot bersama 19 nelayan Vietnam kerana menangkap ikan di perairan negara dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM2.5 juta, semalam.

Pengarah APMM Kelantan, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata kru bot yang berumur antara 18 hingga 60 tahun, ditahan ketika dua bot berkenaan menangkap ikan pada jarak berdekatan, iaitu 93 dan 95 batu nautika dari muara Tok Bali.

- Advertisement -

Dalam kejadian kira-kira jam 9.31 dan 10.21 pagi itu, katanya kedua-dua bot cuba melarikan diri ke kawasan perairan Vietnam, tetapi dapat ditahan selepas dikejar Kapal KM Tok Bali dalam tempoh satu jam.

“Hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran asal bot Vietnam dipadamkan dan diganti dengan nombor pendaftaran Malaysia. Kru bot juga dipercayai memalsukan dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara ini,” katanya pada sidang media di Pangkalan Maritim Kelantan (APMM) Tok Bali di sini, hari ini.

Syed Nor Adli berkata, pihaknya juga akan membuat siasatan lanjut sama ada pemalsuan dokumen itu membabitkan kegiatan sindiket.

Katanya, dua bot terbabit dipercayai baru memasuki perairan negara berdasarkan hasil tangkapan hanya 50 kilogram sotong di sebuah bot, manakala bot kedua tiada sebarang hasil tangkapan, selain bekalan diesel masih banyak, iaitu 9,500 liter.

“APMM juga terpaksa menunda dua bot itu lebih 25 jam untuk tiba di Pangkalan APMM Tok Bali apabila sebuah bot didapati mengalami kerosakan enjin,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia. – HARAKAHDAILY 9/9/2021

- Advertisement -