Oleh KAIROL ZULHAIDI
PUTRAJAYA: Kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dinasihatkan agar tidak memandang rendah kepada kesalahan yang mereka lakukan kerana peruntukan perundangan sudah jelas bahawa mereka akan dikenakan tindakan yang berat terhadap kelakuan dan promosi LGBT di negara ini.
Ini kerana perkara tersebut menjadi salah satu keutamaan untuk dikawal selia secara berterusan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di bawah kepimpinan Menteri yang baru dilantik, Senator Tuan Haji Idris Ahmad.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan meneruskan task force untuk memerangi wabak LGBT sejajar dengan dasar Malaysia yang meletakkan agama Islam sebagai agama persekutuan dan menentang keras amalan LGBT ini
“Masyarakat Timur tidak sesuai dengan perlakuan LGBT yang tidak sama dengan penerimaan masyarakat Barat.
“Malah ada negara Barat juga yang tidak menerima LGBT dan menjalankan tindakan yang jauh lebih keras terhadap golongan ini,” ujar beliau ketika ditemui HarakahDaily di sini.
Tambah Marzuk, dari sudut pelaksanaannya, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang terhadap kelakuan dan promosi LGBT di negara ini.
“Sebelum itu lagi, kita telah mengarahkan supaya melihat kepada peruntukan undang-undang sedia ada, tentang apa tindakan yang boleh dibuat.
“Perkara itu, dalam tempoh yang lama memang berjalan termasuk pendakwaan, dan tangkapan terhadap kelakuan dan promosi LGBT,” ujarnya.
Sehubungan itu, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tersebut akan meneruskan task force LGBT yang sudah dibentuk sebelum ini kerana mempunyai kepakaran untuk pemulihan kumpulan LGBT.
“Sudah ramai yang berhijrah dengan pemulihan yang kita buat, malah mereka menjadi aktivis kepada kita untuk menarik golongan yang terjebak agar kembali ke pangkal jalan,” katanya lagi.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan task force secara bersepadu dalam kadar segera bagi menangani isu LGBT yang melibatkan agensi-agensi seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia. – HARAKAHDAILY 2/9/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!