
KUALA LUMPUR: Peristiwa pertukaran tampuk pemimpin negara yang berlaku Ogos lalu menggambarkan kematangan Malaysia berdepan dengan masalah dan perbezaan politik.
Menurut Ahli Akademik, Dr Supyan Hussin, sekiranya menjelang 31 Ogos dan suasana politik Malaysia masih caca merba, ia agak memalukan.
Beliau menganggap peristiwa perubahan kerajaan itu adalah suatu tindakan yang wajar dan amat baik.
“Bagi saya, apa yang berlaku, peristiwa perubahan kerajaan baru-baru ini adalah satu tindakan yang baik, wajar, bernas, bagus, dan cukup cantik.
“Melambangkan bahawa kita sudah matang dalam menangani perbezaan politik dan akhirnya sampai kepada satu tahap, kita boleh mambuat keputusan yang baik sebelum kita menyambut 31 Ogos, Hari Kebangsaan.
“Katalah politik masih bercelaru, masih tidak dapat putuskan Perdana Menteri dan sebagainya, dan tiba-tiba melangkau 31 Ogos, ini amat memalukan.
“Bukan sahaja kabinet, tetapi seluruh rakyat Malaysia merasa malu. Kerana kita tidak boleh selesaikan satu perkata yang mudah dalam kehidupan kita.
“Tentang politik ini, mungkin orang awam rasa mudah, tetapi orang politk mereka penuh dengan komplikasi, pelbagai dimensi boleh kita lihat,” ujarnya dalam sesi Bicara Harakah: Nilai Kemerdekaan dan Semanagat Perpaduan, malam tadi.
Selain itu, beliau juga berpendapat peristiwa itu membawa kepada kestabilan politik di Malaysia apabila pembangkang mulai menunjukkan reaksi positif.
Antaranya, kesediaan pembangkang untuk menyokong program dan dasar dilaksanakan kerajaan yang bersifat prorakyat.
“Jadi saya fikir perubahan yang berlaku sama ada secara kebetulan atau dirancang, bagi saya sudah takdir Allah ia berlaku. Sesuatu yang baik, membawa kestabilan politik dan kurangnya pergaduhan dan pertembungan politik,” ujarnya.
Pada 16 Ogos lepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-8 selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen.
Manakala 20 Ogos, Naib Presiden Umno, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-9 setelah mendapat sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat.
Kemudian pada 25 Ogos, Ismail Sabri bertemu dengan pembangkang untuk bekerjasama memperkasakan fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif serta menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat. – HARAKAHDAILY 2/9/2021











