Realisasikan Pahang tanpa judi dan arak

- Advertisement -

KERAJAAN perlu memiliki keyakinan, iltizam dan keberanian politik untuk tidak lagi menjadikan sumber judi dan arak sebagai sebahagian pendapatan negara. Perkara diulangsuarakan ADUN Beserah, Andansura Rabu pada Persidangan DUN Pahang kelmarin bukan sahaja satu kepercayaan kepada kerajaan negeri, tetapi juga diharap sampai ke makluman Putrajaya.

Pendirian PAS dalam menyuarakan isu ini tidak pernah berubah sama ada ketika menjadi pembangkang mahupun kini sebagai sebahagian kerajaan. Kerana bukan sahaja berkewajipan memenuhi tuntutan takwa yang ditetapkan agama, tetapi ianya juga selaras ketinggian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Lebih daripada itu, ianya adalah satu komitmen mewujudkan jaminan terhadap keselamatan, ketenteraman, keamanan dan keharmonian hidup rakyat. Kita sudah lumat membahaskan dan menjadi saksi terhadap keburukan arak dan judi. Ia menjadi pemicu kepada banyaknya peningkatan statistik jenayah.

Bahkan, kita juga maklum banyaknya negara di dunia sudah mula memperkenalkan undang-undang yang memperketat atau menghadkan pengambilan najis maksiat itu. Maka sewajarnya Malaysia sebagai negara dan majoriti rakyatnya berpegang kepada Islam lebih terkehadapan mengungguli penolakan kepada arak dan judi.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan kerajaan terpaksa mengurangkan aktiviti ekonomi antaranya penutupan operasi kelab malam dan hiburan yang lazimnya terdapat dua item tersebut. Namun, ia secara tidak langsung menjadi eksperimen betapa tanpa arak dan judi telah terlihat kesan besar kepada pengurangan kes jenayah yang berpunca dari keduanya.

Walaupun selama ini hasil keduanya menjadi pendapatan kepada kerajaan, hakikatnya itu penuh dosa dan noda yang membawa akibat negatif buruk dan lebih merugikan untuk ditanggung atau diselesaikan. Untuk itu, saranan dan idea-idea yang dicetus ke arah mencari pendapatan berkat, mengikut syarak dan diredhai Allah S.W.T mestilah diteroka dengan kebijaksanaan dianugerahkan-Nya.

Percayalah, bumi Pahang ini khususnya dan Malaysia amnya memiliki sumber sangat melimpah ruah untuk mengkayakan rakyat, negeri dan negara. Apatah lagi jika digembleng keupayaan, kemahiran dan kepakaran yang ada dalam kalangan tenaga manusia rakyat negara ini, terlalu banyak boleh dijana bagi kepentingan semua.

Itulah sebenarnya kemakmuran dan kesejahteraan yang berada di hujung terowong Islam untuk kita sampai kepadanya tanpa perlu teraba-raba dengan ideologi atau sumber hasil ditegah Allah dan Rasul. Mari kita ubah dan seterusnya menyelamatkan rakyat yang sememangnya terkesan oleh cabaran era COVID-19 ini kepada hidup yang penuh terjamin dan mendapat pertolongan Allah S.W.T.

KHAIRUDDIN ABDULLAH
Yang Dipertua
PAS Kawasan Bentong – HARAKAHDAILY 26/8/2021

- Advertisement -