Tamat Darurat: Adakah pilihan raya akan berlangsung?

- Advertisement -

KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memasyhurkan Proklamasi Darurat baharu selepas Proklamasi Darurat yang berkuatkuasa sekarang tamat pada 1 Ogos 2021, adalah selari dengan pandangan yang diberikan oleh Raja-raja Melayu yang dizahirkan selepas Perjumpaan Khas di Istana Negara pada 16 Jun 2021. Ketetapan ini juga selari dengan desakan yang dibuat oleh pemimpin pembangkang sejak kebelakangan ini.

Selain itu, kerajaan juga telah memutuskan bahawa semua Ordinan Darurat (6) yang dibuat dalam tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan (revoked) berkuatkuasa 21 Julai 2021. 

- Advertisement -

Pembatalan ini memberikan beberapa kesan yang signifikan, iaitu antaranya:

a. Dewan Undangan Negeri Sarawak perlu diisytiharkan terbubar kerana tamat tempoh lima tahun dan Pilihan Raya Negeri Sarawak perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Ordinan tidak lagi berkuatkuasa.

b. Kerusi Parlimen dan DUN yang kosong dalam tempoh Proklamasi Darurat perlu diisi melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh 60 hari Ordinan tidak lagi berkuatkuasa. Antara kerusi yang terlibat ialah kerusi Melor di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

c. Jika Darurat khusus untuk Parlimen Batu Sapi, Gerik dan kerusi Bugaya DUN Sabah juga ditamatkan, maka PRK untuk kerusi-kerusi berkenaan juga perlu dilaksanakan.

d. Jika Perdana Menteri tidak mendapat sokongan untuk kelulusan Belanjawan 2022 atau kalah dalam apa-apa pengundian di Dewan Rakyat, maka ia boleh ditafsirkan sebagai beliau hilang kepercayaan. Menurut Perkara 40(3), jika tiada calon lain yang layak dilantik Perdana Menteri, maka YDPA boleh membubarkan Parlimen atas kehendak Perdana Menteri. Dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen, Pilihan Raya Umum ke-15 perlu dilaksanakan di seluruh negara.

e. Kadar denda yang tinggi bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dipinda melalui Ordinan Darurat dengan sendirinya terbatal dan kadar denda asal yang lebih rendah perlu berkuatkuasa.

Kita doakan agar perkembangan yang berlaku ini tidak menjejaskan usaha yang sedang dilaksanakan bagi menghadapi wabak COVID-19. Moga Allah kurniakan jalan keluar yang terbaik kepada kita semua dalam menghadapi dugaan yang besar ini.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembangaan)
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 26/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1139212551/posts/10219137156716657/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -