KUALA LUMPUR: PAS memandang serius keputusan Jemaah Menteri Malaysia untuk meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).
Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad menegaskan, TH merupakan institusi umat Islam yang sangat penting.
“PAS berpandangan sebarang keputusan yang melibatkan institusi penting ini perlu diperhalusi secara teliti oleh pakar-pakar dan pihak-pihak yang berkepentingan terhadap TH,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, penelitian itu penting supaya sebarang tindakan yang diambil tidak menjejaskan fungsi TH yang bukan hanya sekadar mengendalikan urusan haji tetapi menjadi institusi pemerkasa ekonomi umat Islam Malaysia.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada 15 Julai lalu berkata, jemaah menteri bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan (prescribed Islamic financial institution) di bawah seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM). – HARAKAHDAILY 19/7/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!