Hapus sebahagian hutang peneroka satu anugerah

- Advertisement -

BADAN Perhubungan PAS Negeri Johor (PAS Johor) menyambut baik keputusan Kerajaan Malaysia yang telah bersetuju untuk menghapuskan dan melupuskan sebahagian hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berjumlah RM8.3 bilion dan PAS Johor melihat ianya sebagai bukti bahawa kerajaan sangat menghargai peranan yang dimainkan oleh para peneroka yang memajukan sektor komuditi perladangan ini khususnya berkaitan dengan sawit.

Walaupun ianya bukan janji manifesto seperti yang telah dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang pernah berjanji untuk membatalkan kesemua hutang peneroka dalam tempoh 100 hari namun janji tersebut terus tinggal janji.

- Advertisement -

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada akhir tahun lalu telah memulakan langkah untuk memastikan hutang peneroka dapat dihapuskan dengan memperuntukkan RM400 juta untuk menghapus faedah hutang kebun peneroka FELDA. Tindakan itu dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai langkah untuk membantu golongan peneroka ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Langkah terbaru kerajaan seperti yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, berdasarkan kepada teks ucapan sambutan Hari Peneroka FELDA 2021, Perdana Menteri menyatakan bahawa pelupusan pinjaman yang akan dilaksanakan melalui inisiatif pelarasan pinjaman secara bersyarat itu akan mengurangkan bebanan pinjaman setiap peneroka secara purata sebanyak 80 peratus adalah satu anugerah yang terindah kepada para peneroka FELDA.

Menurut Perdana Menteri, dengan pelupusan sebahagian hutang peneroka ini, purata bayaran balik pinjaman dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 ke RM1,000 kepada hanya RM250 ke RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah.

PAS Johor mengharapkan agar para peneroka dapat mengambil kesempatan ini untuk membantu menaikkan taraf hidup, memperbaiki kehidupan sosial, meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan para peneroka. Dengan peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) berada pada tahap tertinggi pada tahun ini di pasaran dunia pastinya memberikan kesan positif kepada pendapatan peneroka sawit.

Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Timbalan Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ)
9 Julai 2021 | 28 Zulkaedah 1442H – HARAKAHDAILY 9/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/542437942521369/posts/3912046692227127/?d=n

- Advertisement -