Sidang parlimen tetap akan diadakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengkaji lebih terperinci persidangan Parlimen secara hibrid yang merupakan satu-satu pilihan yang ada dalam masa pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata konsep yang akan dilaksanakan tidak jauh bezanya dengan parlimen-parlimen di dunia.

“Apabila kita sebut hibrid ini gambarannya adalah sebahagian ahli-ahli parlimen akan hadir ke parlimen secara fizikal (physical appearance) penampilan fizikal yang duduk di dalam parlimen yang ada 222 kerusi.

“Manakala sebahagian lagi tidak berada di dalam dewan Parlimen, mereka berada di merata-rata tempat dan bersidang secara maya. Jadi kita boleh berkomunikasi.

- Advertisement -

“Dalam konteks parlimen hibrid ini apabila Yang di-Pertuan Agong memanggil persidangan Parlimen atas nasihat daripada Ketua Kajlis Parlimen iaitu Perdana Menteri maka Parlimen mesti mengadakan sidang,” jelasnya dalam Bicara Harakah bertajuk ‘Proklamasi Darurat: berjaya atau sebaliknya’, malam tadi.

Terangnya lagi, pihaknya akan tentukan jumlah dan siapa ahli parlimen yang dibenarkan hadir ke Parlimen mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Misalnya, kata beliau ahli parlimen dari Sabah, Sarawak, Kelantan, dan Johor hanya sebahagian tidak perlu datang ke Parlimen.

“Korum untuk persidangan Dewan Rakyat 26 orang, persidangan Dewan Negara 10 orang, jadi kalau ada 26 orang sudah boleh buat persidangan.

“Tapi bukan saya kata kita nak buka untuk 26 orang sahaja, nanti salah faham pula. Maksudnya seminimum 26 orang boleh diadakan mesyuarat.

“Namun demikian kita perlu ingat bahawa untuk melaksanakan parlimen maya (virtual parliament) ini kita memerlukan banyak perkara yang perlu diselesaikan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pertamanya masalah perundangan.

Jelasnya, perundangan ini penting kerana di dalam peraturan-peraturan di parlimen mempunyai standing order.

“Dalam Perlembagaan sendiri mengatakan bahawa kehadiran ke Parlimen itu mesti fizikal, malah ahli parlimen yang tidak hadir di dalam dewan Parlimen dia tidak boleh mengundi. Tetapi kalau dalam masa Covid-19 kita tidak bagi mengundi susahlah.

“Jadi perlu buat pindaan kepada standing order dan peruntukan undang-undang yang ada, itu dari segi perundangan.

“Yang kedua dari segi teknikal, macam mana orang di Sarawak boleh membahas rang undang-undang misalnya. Yang disiarkan di Parlimen dia boleh berbahas di Kuching.

“Kemudian dari segi kewangan juga perlu dikaji. Jadi jelaslah bahawa parlimen maya ini memerlukan satu kajian, persiapan penting,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Takiyuddin berkata, kerajaan amat komited dengan proses demokrasi yang melibatkan Parlimen walaupun sepanjang tempoh darurat ini tiada persidangan parlimen.

“Buktinya kelmarin Perdana Menteri kita telah menyebutkan dengan jelas semasa perbentangan Pelan Pemulihan (Negara) iaitu butiran 28 mengatakan kerajaan kita akan mengadakan apabila dapat memenuhi SOP yang ditetapkan dan disebut dengan jelas oleh Perdana Menteri sekitar bulan sembilan (September) atau sepuluh (Oktober).

“Kita bukan tidak mahu buat, kita akan buat tetapi dalam keadaan norma baharu iaitu parlimen hibrid.

“Cuma kita tidak boleh umumkan secara terperinci lagi kerana masih dalam kajian di peringkat terakhir oleh Speaker-speaker Dewan Rakyat, Dewan Negara, timbalan speaker dan sebagainya sedang mengkaji lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -