Covid-19: Kerajaan selari dengan pandangan Istana Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional selari dengan pandangan yang dizahirkan oleh Istana Negara semalam, untuk menangani Covid-19 menerusi Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali program imunisasi yang diperkasakan menerusi pelan tersebut adalah langkah drastik rakyat kembali kepada kehidupan normal dan membolehkan Parlimen segera bersidang.

Sementara itu, kata beliau dalam situasi Yang di-Pertuan Agong mahukan rakyat bersatu menangani Covid-19 masih ada pihak yang mahu berpolitik.

- Advertisement -

“Laporan polis atas tuduhan kononnya Datuk Seri Takiyuddin menderhaka apabila membuat ulasan tentang langkah kerajaan selari dengan panduan Istana benar-benar merupakan langkah politik sumbang dan jahat serta mengelirukan rakyat malah cuba menangguk kepentingan politik yang sempit.

“Rakyat perlu menolak politik sumbang sebegini,” tegasnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus percaya kerajaan Perikatan Nasional dengan dukungan rakyat akan berjaya mengharungi cabaran pandemik itu sebagaimana pelan pemulihan yang telah dirancang.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya exit strategy bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Sehubungan dengan itu, ujar beliau Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -