Sanusi suka duka zaman SPM dan sekolahnya

- Advertisement -

KEPUTUSAN SPM saya kurang baik berbanding best student kelas saya Dr Fatimah Mat Amin. Dia 15 (P1) saya 27 (P2). Tetapi saya bersyukur kerana keputusan itu pun telah melebihi usaha saya sendiri. Saya kurang mengayuh, berharap kepada lajak sahaja. Di laluan berbukit saya tuntun saja.

Saya diberhentikan daripada sekolah berasrama penuh pada pertengahan tingkatan empat, diberi peluang menyambung persekolahan di SM Sik. Ada satu saja kelas aliran sains, pelajar lebih kurang 30 orang.

Saya lebih banyak ‘bersastera’ belajar mengenai kehidupan di luar daripada kurikulum subjek asas di sekolah. Saya berkawan dengan brader penjual burger depan sekolah, Abang Art roti canai murtabak di Pekan Sik, Tajul tauke Family Fried Chicken (Dato’ Mohd Tajuddin Abdullah), dan ramai peniaga pasar malam.

- Advertisement -

Ada subjek yang tidak dapat masuk kepala sama sekali seperti Matematik Tambahan (Cikgu Suaidi Saad) dan fizik. Yang saya ingat mengenai fizik hanyalah Cikgu Noraini. Kimia pula saya ingat Cikgu Zainal Abidin (Cikgu Non) dan Biologi saya ingat Cikgu Yusof Desa (Allahyarham).

Saya minat subjek Geografi dan Cikgu Miskin Raboo, isterinya Cikgu Jamnah Pairan (Bahasa Melayu). Sir Prasad mengajar Bahasa Inggeris, Ustaz Abdul Hapis (Ustaz Ramli Ibrahim) mengajar Agama Islam. Cikgu Azizah, Cikgu Asri (Matematik Moden) Cikgu Najmi, Cikgu Ghazali Hashim (Allahyarham)… semua cikgu ada jasa masing-masing.

Kerja cari duit poket

Semasa cuti penggal untuk ke tingkatan lima, saya ikut rakan sekampung bekerja awak-awak bot bilis di Taman Intan Sungai Petani. Saya bertahan 2 minggu sahaja tidur berak atas bot bilis. Awak-awak bot bilis ramai yang hisap ganja dan main kad. Saya takut merosakkan diri jika lebih lama di situ, saya minta berhenti. Tolak duit yang dah pinjam RM50, baki tinggal RM34. Sehari -RM7.00 saja.

Kemudian saya jadi buruh binaan di Tanah Liat, menumpang rumah sewa kawan di Kubang Semang. Berjalan kaki menyusur landasan keretapi dengan Hamid Panjang, jadi capkang membancuh simen, angkut bata, tarik timba simen naik ke tingkat dua sebuah banglo Cina. Umur saya 16 tahun.

Hari Ahad cuti, saya ikut tauke Cina itu ke kilang, angkut sampah dan cuci stor. Dia jadi vendor kilang pakaian sukan jenama Rebook, bawa balik pakaian siap untuk dimasukkan ke dalam bungkusan. “Ini barang untuk hantar luar negeri saja ooo,” kata tauke. Saya menitik air liur teringinkan track suit berjenama itu. 

Saya masuk semula ke tingkatan lima agak lambat kerana asyik bekerja jadi buruh. Sewaktu di tingkatan lima, saya ikut pula Zaharin budak kelas lima sastera bekerja dengan Tajul (Dato’ Tajuddin Abdullah) pada hari Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat berniaga ayam goreng.

Jam 4 petang sudah beroperasi di pasar malam – Sik, Kupang, Bukit Selambau, Yan dan Jeniang. Jam 12 baru sampai ke rumah sewa. Masa mana saya belajar hal-hal dalam buku sekolah? Mungkin suku saja alam persekolahan saya berada di sekolah. Selebih saya mencelupkan diri dalam semua persekitaran di luar. Ramu serba-serbi, jadi serba boleh sekadar serba sikit. Saya masuk belajar semula di Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Derma, Kangar Perlis. Itu saja kelayakan terbaik SPM saya. Kali ini lebih fokus tetapi tidak 100 peratus.

Penglibatan di sekolah

Dunia luar sekolah saya alih kepada aktiviti ko-kurikulum pula – sukan olahraga, ragbi, forum remaja, nasyid, ketua pengawas asrama, surau, mengenal budaya dan berkawan rakan pula. Ada satu hari saja sepanjang hampir dua tahun di Tingkatan Enam itu saya tidak tertidur dalam kelas – 21 April 1993. Tarikh tunggal itu kekal dalam ingatan menjadi sejarah.

STPM saya cukup makan saja untuk masuk Universiti. Saya tidak pernah cemerlang dalam subjek apa sekalipun, semuanya biasa-biasa saja melainkan subjek Bahasa Melayu yang saya kekal dapat ‘A’ sewaktu SPM dan STPM. Selain Bahasa Melayu, saya kuasai sedikit subjek Geografi, Sejarah dan Pengajian Am. Ekonomi setakat lulus Principle E saja.

Di universiti pun saya aktif berpersatuan, memimpin pertubuhan dan kelab mahasiswa, banyak aktiviti luar bilik kuliah. Semua kertas kursus lulus, tidak corot tidak juga top. Kursus Statistik dan Kaedah-kaedah Penyelidikan (Dr Tiun Ling Ta) saja saya terpaksa mengulang di semester 3, bersama ramai pelajar lain. Itu kes biasa. Akhirnya bergraduasi juga.

Kita dibina oleh jalan yang kita lalui, apa yang kita tekuni dan kita sambil lewakan. Semua itu adalah mata pelajaran untuk menempuh dan membina masa depan. Serba-serbi serba-boleh serba-sikit pun mampu jadi bekal hidup yang baik walaupun tiada deretan A pada sijil peperiksaan.

Jika ada deretan A juga bersama pengalaman lain tentulah lebih baik. Tapi deretan A sahaja tanpa adunan rempah ratus dari luar kelas serba-sikit itu akan menjadikan kita gagal memahami istilah ‘bodoh-bodoh’ dalam konteks ia diungkapkan. Lalu kita menjadi pandai-pandai dalam dunia kita sendiri saja. Adik-adik yang dapat result SPM kelmarin dulu saya ucapkan selamat menempuh kehidupan. Keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan harus berhubung jalin dengan kehidupan sebenar. 

Kepada yang kurang cemerlang, jangan putus asa, SPM bukan penamatnya, ia baru bermula. Kita masih punya waktu menganyam masa depan kita sepanjang laluan. Belajar adalah proses sepanjang hayat, bukan di sekolah sahaja. Cuma dalam dunia hari ini, kita perlu pantas, tidak boleh culas, bukan sekadar bangun tapi bingkas! Akhir sekali, Allah S.W.T lah yang menyusun hidup kita, menentukan segalanya, kita hanya menjalani dengan ihktiar usaha dan doa. 

Masih dalam mood result SPM dan sekolah. Saya menulis artikel ini pada tahun 2011, sebagai rakaman perjalanan hidup. Sebagai penghargaan kepada insan-insan yang banyak berjasa, saya kongsikan semula tulisan ini agar adik-adik yang baru menamatkan zaman persekolahan dapat menoleh sekali-sekala menghargai institusi yang menjadikan kita seorang manusia.

SM Derma dan doa harapan mak

Hari pertama aku ke SM Derma, keazamanku tinggi menggunung. Mak yang datang kelmarin, menanti aku di rumah Kak Ndun, aku rasa dia berdebar-debar juga, mana tahu aku tak jadi mengaji juga di sekolah baru.

Pagi-pagi lagi aku menumpang Kak Ndun dan Abang Radzi, dengan uniform baru yang mak bawa sendiri dari kampung. “Tak dak orang lain nak hata, pakat keja belaka”, katanya.

Maka Mak sendirilah bersusah payah bertukar bas dari Sungai Pau Ke Kangar, setelah aku menunggu 4 hari. ‘Dua kali aku gi tengok, Cina tukang jahit Sayang itu kata tak dan siap. Tadi aku gi ambil, baru siap, aku terus mari sini.” Mak bercerita sambil bersila berkain batik, berbaju kurung yang dipakai ke Kangar seorang diri.

Mak lantas membuka zip beg kain bajunya untuk mengeluarkan uniform sekolahku. Tiada bajunya sendiri dalam beg itu, rupanya mak datang sehelai sepinggang. Waktu menghulurkan bungkusan itulah aku menatap wajahnya yang terpancar sejuta harapan seorang ibu, raut mukanya, sinar matanya, getar bibir dan suaranya, dua tangannya yang mengampu bungkusan itu bagai persembahan sebuah persalinan buat si anak.

Segumpal hatinya bagaikan berbisik – ‘Dengarlah rintihan hati mak wahai anak, walau mak tidak berbicara dengan suara, kerana mak tak pandai menyusun kata untuk merayu agar kamu mengasihani aku, mengasihani Pak dan adik-adik, memberi harga kepada titik peluh dan pengorbanan, mulut dan perut kami yang sering kelaparan, tapi hati kami akan kenyang dengan kejayaan, kami semua bergantung harap kepadamu.’ Bacaan suara hati mak itu aku simpan selama 20 tahun, hingga coretan ini ku tulis ini.

Demikianlah jawapan Mak andai ditanya padanya esok, lusa atau bila-bila pun. Benarnya bacaanku ini aku sudah tahu pada tahun 2005, waktu seorang rakan yang prihatin dengan sekolah PASTI, Maliki Md Daud, pada satu malam bercerita mengenai mak dan Pak yang baru dia kenali, dalam pelat Kelantannya… ‘Mok mu royat ke aku, masa mu buleh masuk U, dio raso mace terlepah hute sejutoo…’

Cikgu Puan Dariah Saad adalah Pengetua SM Derma, sewaktu aku diterima menyertai warganya pada April 1992. Aku bermalam beberapa kali di rumahnya, Lorong Hj Choh, Jalan Kaki Bukit. Anaknya sekelas dengan aku. Cikgu Rosli yang glamour di kalangan pelajar dengan panggilan Mat Black sebagai Penolong Kanan, PK HEM ialah Pn Temu.

Guru-guru dan teman

Guru-guru Tingkatan Enam ramah mesra, melayani murid yang paling dewasa. Tingkatan 6 sudah dipanggil pra-U, Enam Kritis dan Enam Kreatif, dan satu kelas Enam Sains.

Pelajar-pelajar yang cemerlang dalam SPM belum dipanggil ke IPT, Matrik, Politeknik atau UTM (UITM), di sinilah aku sempat bertemu semula sahabat lama, Amir Rizal Halip (Allayarham) sama-sama bekas budak Mat Jiwa. Rumahnya di Jelempok, sekampung dengan Akmaluddin Omar (Pak Ndak) dan Redzuan Che Rahim (Che Wan). Dia kemudian ke pelantar minyak Petronas.

Aku diterima seadanya oleh semua pelajar asal SM Derma dan yang baru masuk seperti Azad Jasmi, anak Pengetua, ayahnya Pak Cik Jasmi mengajar di Politeknik Sultan Abdul Halim, Jitra. Mereka ahli dalam bab kereta dan sukan lumba.

Azad beberapa kali buat drift di U turn dengan Ford Escort merah talaan perlumbaan bikinan ayahnya. Aku memaut apa yang ada, sambil kaki menekan lantai. Pak Cik Jasmi pernah berseloroh ‘Sanusi, rumah ini memang banyak kereta, tapi kalau himpun semua 6-7 biji kereta ini, nak beli Iswara sebiji pun tak lepaih!’

Pak Ya (Sodikin Ali), Che Own (Madzerul), Pak Wan (Wan Sulaiman), Rashidi, Nyet (Shuqizam), Russlan, Norzean, Saparudin (Pudin), Kamal (orang Bakar Bata, Alor Setar), Johaidi (Koi), Julian Ragavan, Glen Hutchins (New Zealand), Shingo Hinoh (Jepun) dan ramai yang lain.

Guru-guru

Derma mengembangkan semua bakat dan kebolehan. Cikgu Hindun (Kak Ndun) mengajar Sejarah, Ustazah Fitriyah mengajar Sejarah Islam, Cikgu Yusoff mengajar Pengajian Am 1, Cikgu Shariff mengajar Pengajian Am kertas 2, Cikgu Husni dan Cikgu Mokhtar, Cikgu Jamaliah (Bahasa Melayu), Cikgu Aziz (Geografi), Cikgu Omar (Ekonomi) dan ramai lagi guru-guru yang menjadi ayah dan ibu. Pn Dariah bertukar sebagai Pengetua Sekolah Tunku Kursiah, Seremban, dan Pak Wan Pengetua dari Sekolah Syed Putra (Sains Perlis) menggantikannya.

Pak Wan berkereta Mini Cooper. Dia kemudian berhenti dan menjadi ‘orang besar’ Istana Perak. Cikgu Shahrim hensem orangnya, kumisnya boleh meluluhkan jiwa wanita. Dia belajar di Universiti yang sama dengan Cikgu Syed Yusoff (Mat Jiwa) di Kanada. Dia khabarnya berkahwin dengan student Derma juga (pelajar Tingkatan 5 masa kami di Tingkatan 6 atas).

Cikgu Shariff asalnya orang Kedah juga, dia selalu masuk ke kelas mencapai kapur dan membuat garisan bengkang-bengkok dari atas ke bawah di tengah-tengah papan hitam. Kadang-kadang sepanjang kelas dua period itu, hanya garisan itu saja yang ada di papan hitam. 

Satu hari, sebelum dia sampai, aku terlebih dulu membuat garisan kegemarannya di papan hitam. Apabila dia masuk, mencapai kapur, mengangkat tangan ke atas, dia terkejut! Lalu berpaling ke belakang, memandang aku dan tersenyum lama. Aku pun senyum juga, kemudian kami sekelas ketawa.

Cikgu Norizan Bakar (jurulatih Bola Sepak Kebangsaan dan beberapa pasukan negeri) dan Cikgu Azizul adalah guru sukan Derma. Seorang lagi guru sukan yang pernah berkursus kejurulatihan di Hungary ialah Cikgu Jasni. Aku berbaik dengan semua guru yang mengajar kelas aku atau tidak.

Cikgu Sapor, selalu mempelawa aku menyicah mempelam di bilik guru. Wataknya bagai seorang ibu, anak daranya Nashrah (kalau tak tersalah nama) memang lawa, tingkatan tiga. Azad berkenan, tapi takut mencuba. Adiknya Razif, bermain tenis. Aku pernah menemani Azad ke rumahnya di Kuarters Pegawai Kanan Kerajaan, suami Cikgu Safor Pegawai Tinggi di Unit Perancang Ekonomi Perlis. Anaknya yang comel itu ke Australia selepas SPM. Azad terlepas juga.

Cemerlang gemilang di Derma

Guru-guru dan kawan tidak mengorek mengenai sejarah lama, tidak bertanya mengenai luka nestapa, tidak menyiasat miskin atau kaya, mereka menerima seadanya seorang murid, seorang kawan. Aku bagai memasuki alam baru yang bewarna warni, sejuk dan harmoni. Aku dapat nama baru, direka oleh Che Wan – Ochee- macam nama perempuan, cabuk betoi Che Wan, mungkin mencari ‘geng’ satu spesis namanya.

Nasyid Tilawah dan masuk TV

Kebetulan, tahun 1992, Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan diadakan di Perlis. Beberapa pelajar SM Derma dibuat screen test untuk pasukan nasyid yang akan membuat persembahan masa waktu rehat di majlis itu. Aku salah seorang daripada mereka, dan kami beri 3 pasang Baju Melayu siap bersamping. Itulah samping pertama aku, dan kami masuk TV. Aku bertemu wajah dan menerima tunjuk ajar dengan pencipta lagu Allahu Akbar!, Allahu Akbar!, Allah Allahu Akbar! (lagu wajib Majlis Tilawah) pada tahun itu.

Forum Remaja peringkat Kebangsaan

Kepercayaan pertama sekolah baru itu, memberiku ruang mencuba sebagai panel forum remaja. Aku mewakili Negeri Perlis sebanyak dua kali, ke peringkat Kebangsaan. Ahli pasukan yang lain ialah Sharifah Norazwan (Pah – Pengerusi), Azad Jasmi, Norabisah dan Binwani. Aku menusik Binwani sampai menangis masa pertandingan peringkat Kebangsaan di Sarawak, tahun 1993. Aku membawa $60 ke Sarawak, pemberian Kak Ndun. Itulah kali pertama naik kapal terbang seumur hidup. [Aku menaiki kapal terbang kali kedua 15 tahun kemudian]. Pah baik hati, dia tahu aku tak ada duit, dia membelikan aku dua biji pasu Sarawak berharga hampir $90, aku hadiahkan pasu itu kepada Kak Ndun. Pada tahun sebelumnya kami bertanding Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Ragbi – Johan MSSPs

Aku mengetuai pasukan ragbi sekolah, menjuarai Kejohanan Ragbi MSSPs 1992. Perlis tiada peruntukan untuk kami ke MSSM di Kuching. Pak Ya (Sodikin) yang bawa aku ke padang untuk mencuba. Aku melepas geram terpendam di Mat Jiwa. Aku pernah main untuk Mat Jiwa, tapi ramai ‘star’ di sana, aku hanya dapat tengok dari tepi padang saja, aku tak ada boot masa itu.

Dejjay barua niHang buat koro Ochee nooo… hang pandai main ragbi rupanya… awat tak habaq awai-awaiCaihh hang! esok hang turun lain, hang kena main wakil sekolah,” kata Pak Ya. Aku pinjam boot Abang Radzi, sampai hancur gara-gara ragbi.

Aku membuat touch dalam semua perlawanan, dan mencipta rekod peribadi membuat semua touch dan conversiondalam final dengan Syed Putra. Conversion terakhir hanya sekaki dari garisan tepi dan aku mengambil jarak hampir ke tengah. Masuk! Menang 27-0.

Takraw- Kesempatan terakhir bersama Amir Rizal Alip

Seperti di SM Sik, aku main takraw juga di Derma, satu regu dengan Asmadi (killer) dan Mizi Kola (feeder). Dapat pingat juga, Naib Johan berpasukan. Ada seorang budak Tingkatan Satu yang bagus servisnya main untuk bawah 18, kami panggil dia Non ‘sinar’, kerana dahinya luas. 

Amir Rizal yang masuk Mat Jiwa dulu atas tiket takraw, juga main untuk regu pertama sebagai tekong, Wazir (killer) dan Che Own (Feeder). Amir Rizal maut dalam kemalangan beberapa tahun kemudian, meninggalkan seorang anak dan isterinya, orang Terengganu. Al-Fatihah. Sahabatku dua sekolah.

Olahraga – cedera tapi berjaya juga

Dalam olahraga pun aku cemerlang juga. Wakili sekolah acara 400, 4x 400, rejam lembing dan lompat jauh. Masa hari terakhir latihan pusat kontinjen sekolah ke MSSPs, aku mencuba lompat tinggi, Rashidi yang kurus nipis melidi mewakili sekolah. Ketinggian yang dilepas setara aku saja, lalu kami saling bersaing. Akhirnya aku melepasi 1.75m, melepasi ketinggianku 1.68m , malangnya landing atas padang. Tulang dayung pecah, membenjol.

Sesaat lepas jatuh itu aku tak dapat bernafas, hanya menggapai-gapai dalam senak dan sesak, tercekik, rasanya seperti mahu mati. Lama aku terdiam atas rumput, mata terbeliak cuba menyedut nafas yang bagai tersumbat di tekak. Nafas tak mampu disedut mahupun dilepas.

Aku diusung ke bawah pokok dewan makan asrama, membongkok mengepam dan kawan-kawan menepuk belakang. Lama kemudian, nafas datang semula, belakang sebelah kanan ada benjolan. Tangan tak dapat diangkat, aku tahu aku sudah cedera.

Malam itu Cikgu Azizul (Pak Jon) mengurut dan memicit benjolan itu depan biliknya di asrama, aku meraung kesakitan. ‘Esok hang pi hospital X-Ray tengok jadi apa. Kalau tak ok, hang tak boleh rejam lembing la dah’. Esoknya aku jumpa pakar tulang, Dr Husni di Hospital Besar Kangar, keputusan X-Ray memang mengecewakan.

Bahagian tengah tulang Scapula pecah sampai ke bawah. “Scapula awak cracked. Awak kena rehat, tak boleh buat kerja berat. Nampak ini?” dia menunjukkan imej X-Ray di lampu tepi mejanya.

Malam itu Pak Jon bertanya.”Doktor kata apa Sanusi?”

“Scapula saya retak, terbelah di tengah… bahasa sainsnya ‘Scapula crack pek‘ apa tak tahu,” aku melawak. 

“Boleh lawan dak esok?” Pak Jon tanya.

“Boleh, saya nak try juga laa cikgu.”

Esok, di Sekolah Syed Hassan, kejohanan MSSPs bermula, aku berlari saringan 2 acara 400 meter, dapat nombor satu dengan masa 56 saat. (Rabia Salam atlet wanita negara mencatatkan 52 saat untuk acara itu… hahaha…). Aku masuk final.

Aku tertinggal di nombor 5 di acara akhir. Aku hanya mampu swing sebelah tangan. Lompat jauh dan merejam lembing hari kedua. Hari ini aku baru menyesal mencuba lompat tinggi tempoh hari. Aku membuka anduh berjalan ke lapangan tempat merejam lembing. Aku hanya mampu membuat satu rejaman, dari 6 cubaan yang peruntukan, mencatatkan 46 meter saja.

Sewaktu memenangi emas di sekolah, aku membuat 56 meter, memecahkan rekod MSSPs (52 meter). Malangnya cikgu yang mengendalikan acara itu memberikan kami lembing kelas 2, 500 gram, sedangkan kelas 1 sepatutnya 650 gram. Rekod itu dibatalkan dan aku diminta mencuba secara solo sekali lagi keesokannya. Di bawah kendalian Cikgu Aisyah, guru sukan bertauliah, tanpa warm-up, tanpa mood pertandingan, hanya 3 kali cubaan dengan berat lembing bertambah 150 gram, aku hanya mencatat 51 meter – hanya memecahkan rekod sekolah (46 meter). Lepas satu rejaman yang menyakitkan itu, Aku kembali ke kontinjen sekolah menyapu minyak angin. Keputusannya tetap membanggakan, aku dapat pingat perak.

Lompat jauh memerlukan ayunan tangan yang sistematik menggapai ‘angin’ selain kayuhan kaki sewaktu berlari dan melonjak. Dengan anduh mengikat tangan kanan, aku melompat juga tiga kali dari 6 percubaan. Lompatan ketiga aku hilang imbangan, terguling pacak kepala terbalik kuang. Aku menang pingat gangsa.

[Dengan kebolehan acara merejam, melompat dan berlari, aku mengambil acara Decathlon (10 disiplin sukan) di kejohanan sukan USM, 4 tahun berturut-turut. Aku menang 2 perak dan 2 emas. Lepas USM, aku tidak bersukan lagi, berat badanku melonjak 30 kilogram gara-gara berhenti olahraga]

Amat banyak yang diberikan SM Derma dan guru-gurunya kepada aku. Di sinilah aku menemui semula diriku dan persekitaran yang membolehkan aku bernafas dan menyusun langkah. Selain akademik, ko-kurikulum dan sukan, aku juga menemui fesyen remaja dan cinta.

Kenakalan tak mungkin hilang semua. Ada juga kisahnya yang terakam, tapi tidak menjadi ukuran guru-guru untuk memberi layanan dan hukuman yang tak sepadan. Tiada ungkapan yang menyinggung sejarah dan keluarga di kampung, tiada hukuman berkali-kali, tidak menjadi sasaran untuk mengukur guru disiplin melaksanakan tugasnya atau tidak.

Satu hari terjumpa Cikgu Suaidi (SM Sik) di stesen bas Kangar. Lama bercerita bersembang, sebelum berpisah dia menepuk bahu aku… ‘Tak sangka hang boleh ‘menjadi’ sampai tara nii… kalau hang macam ini lah masa di SM Sik, semua cikgu akan sayang kat hang… kalaulah depa tahu…” Dia pun naik bas ke kampungnya di Arau.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR – HARAKAHDAILY 13/6/2021

- Advertisement -