PAS pandang serius perbuatan hina agama Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS memandang serius perbuatan menghina agama Islam yang masih berterusan berlaku biarpun pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kes serupa sebelum ini.

Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas supaya kes tersebut tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Begitu juga apa yang saya difahamkan berlaku di Sungai Way semalam kejadian kumpulan penghantar makanan memukul pelanggan dikatakan ada kaitan dengan menghina Islam,” katanya di sini.

Semalam polis menahan lima penghantar makanan yang disyaki terlibat dalam kejadian pukul beramai-ramai seorang lelaki yang juga pelanggan mereka.

- Advertisement -

Menurut laporan media Polis Daerah Petaling Jaya, pihaknya menerima laporan daripada seorang penghantar makanan yang tidak berpuas hati pelanggan tersebut menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama.

Malah pengadu membuat tangkap layar pesanan daripada pelanggan tersebut serta menularkannya menerusi aplikasi komunikasi kumpulan penghantar makanan (rider) di kawasan tersebut.

Perkataan yang diviralkan penghantar makanan tersebut iaitu ‘Ardilas anak Tuhan, Tuhan Allah Taala’.

Menurut polis, akibat perkataan yang menghina Islam itu, menimbulkan kemarahan sekumpulan penghantar makanan yang kemudian pergi ke rumah pelanggan tersebut dan bertindak memukulnya.

Berikutan itu polis menahan lima penghantar makanan berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun, dan pelanggan berusia 29 tahun.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dianggap dengan sengaja menggunakan perkataan yang menyentuh sensitiviti agama orang lain dan Seksyen 147 kanun sama kerana menggunakan kekerasan dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Kes tersebut juga mendapat perhatian Sekretariat Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dengan menggerakkan tabung kilat secara atas talian bagi mengumpul sumbangan membantu ikat jamin lima penghantar makanan yang ditahan kerana mempertahankan kalimah Allah.

Menurut kenyataan Pengerusi PEMBELA Aminuddin Yahaya, pihaknya menyasarkan kutipan sehingga RM20,000 bagi membantu ikat jamin lima individu berkenaan dengan kos RM3,000 hingga RM4,000 seorang.

Malah wakil peguam PEMBELA diketuai Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pagi semalam.

Kata Aminuddin pihaknya dimaklumkan mereka direman selama dua hari berbanding empat hari selepas berunding dengan peguam.

“Mereka dijangka diikat jamin antara RM3,000 hingga RM4,000 seorang,” katanya pada kenyataan.

Difahamkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor turut menyalur sumbangan bagi membantu penghantar makanan tersebut. Seorang rider Food Panda merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Besar terbabit.

Bagaimanapun Idris turut menasihati mana-mana pihak tidak menimbulkan apa-apa isu yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan bangsa sehingga boleh menggugat ketenteraman awam.

“Masyarakat juga dinasihatkan tidak mengambil tindakan melangkaui undang-undang dan menyerahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2021

- Advertisement -