Presiden PAS saran Rusia, China jadi pihak tengah

Gesa Negara-negara Islam beri tekanan menolak Amerika Syarikat dalam penyelesaian isu Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rusia dan China perlu mengambil alih peranan sebagai pihak tengah dalam konflik perang Israel-Palestin menggantikan Amerika Syarikat yang jelas berpihak kepada Israel.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia, Indonesia, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Mesir, Iran dan Turki perlu membuat tekanan menolak Amerika menjadi pihak tengah.

“Amerika tak layak jadi orang tengah dalam penyelesaian Palestin, bukan Amerika. Kerana Amerika berpihak, bukan dia duduk di tengah, dia duduk di hujung. Dia bekal senjata, dia anggap Palestin sebagai pengganas, nak jadi orang tengah?

“Biden (Presiden Amerika) ini walaupun pendekatan dia lain, saya anggap itu ‘dua wajah dalam satu Dollar’, sama saja pendekatan. Oleh sebab itu adalah lebih baik negara-negara Islam membuat tekanan,” gesanya.

Beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersiaran di rancangan Ruang Bicara Khas BERNAMA membicarakan tajuk Malaysia Bersama Palestin: “Perjuangan Tidak Bernoktah, Sokongan Tidak Bermusim” dihoskan Sherkawi Jirim, malam tadi.

Menurut beliau, sejak sekian lama Negara-negara Islam ditekan, dibuli dan gagal berfungsi dalam membela Palestin walaupun terdapat pelbagai inisiatif diusahakan di peringkat antarabangsa secara gabungan.

Pun demikian Palestin diiktiraf sebagai negara dan boleh hadir ke Perhimpunan Forum Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta menubuhkan kedutaan di banyak negara di mana bantuan dapat disalurkan.

Malah katanya, pilihan raya dapat diadakan di Palestin disertai PLO dan HAMAS, namun PLO yang berkuasa di Tebing Barat tetap dihalang dan disekat, manakala HAMAS dianggap pengganas oleh Amerika.

Bahkan Amerika bidasnya, tetap melakukan tindakan bertentangan Resolusi PBB dengan terus membawa masuk orang-orang Yahudi berhijrah datang ke Palestin dan membekalkan senjata kepada Israel.

“Terakhirnya Donald Trump (bekas Presiden Amerika) mengisytiharkan Baitul Maqdis ibu negara Israel. Ini sudah melanggar ‘two state solution’ kerana dalam dua negara itu Baitul Maqdis Timur adalah ibu negara Palestin, Israel dah langgar.

“Netanyahu yang jadi PM Israel telah bertindak apa yang dibuat oleh Biden dengan menyerang Baitul Maqdis dan menceroboh Masjidil Aqsa, menyentuh agama orang Islam bulan Ramadan. Dia tak kira bulan Ramadan. Dia ceroboh, pelampau Yahudi masuk berlaku pertempuran.

“Ini mencetuskan kebangkitan Palestin. Bila dia sentuh ini menyebabkan kebangkitan orang Kristian bersama, termasuk Yahudi-yahudi juga menentang, Yahudi kalangan kiri, termasuk Yahudi Ortodok. Apabila berlaku kebangkitan ini, Netanyahu bertindak.

“Ahli Kongres Amerika kata tindakan Netanyahu tidak bijak. Bahkan dua Ahli Parlimen Israel pun tak setuju tindakan ini. Netanyahu bertindak agresif menyerang Gaza. Serang Gaza tujuannya ialah untuk ‘highlight’ HAMAS ialah pengganas, dengan Jihad Islami.

“Israel serang dulu. Bila dia serang, apa yang berlaku bukan lagi lawan dengan senjata kecil, HAMAS dan Jihad Islami mempunyai senjata-senjata canggih dibekal oleh Iran dan negara-negara Islam. Apa yang berlaku ialah kumpulan Palestin semua bersatu, dan kebangkitan dalam Israel sendiri membantah termasuk Tebing Barat,” kupasnya.

Menurut beliau, Israel gagal mendapat kemenangan dari serangan darat dilancarkan dan mereka tidak berani meneruskannya dengan tindak balas dihadapi lalu meminta gencatan senjata diadakan.

Jelas beliau, Palestin memberi syarat yang pertama agar Israel hentikan dulu serangan dan kedua tidak mengganggu Masjidil Aqsa, kawasan penempatan Syeikh Jarrah bandar Baitul Maqdis.

Katanya, Palestin menegaskan supaya kawasan orang Islam yang hendak dirampas Israel agar jangan dikacau serta ketiga tidak mengganggu dan bertindak agresif terhadap orang-orang Palestin.

“Kemudian Israel pula bagi syarat, supaya Palestin tak dibekalkan senjata, dianggap pengganas. Dan Amerika juga mendukung apa yang dibawa oleh Israel ini. (Tetapi Amerika membekalkan senjata). Dengan sebab itu, pada pandangan saya, Amerika tak layak jadi orang tengah,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 23/5/2021

- Advertisement -
- Advertisement -