Gencatan senjata jadi kemenangan buat Gaza

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Genjatan senjata antara HAMAS dan Zionis yang diumumkan sebentar tadi disifatkan sebagai satu kemenangan bagi umat Islam Gaza, demikian kata Presiden Cakna Palestin Malaysia, Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa.

Menurut beliau yang juga Koordinator Kempen #Aid4Palestine, perjuangan pertahanankan Gaza berjaya biarpun dikepung oleh Zionis dengan segala kekuatan dari segi bilangan dan bekalan yang tiada tandingan.

“Perjuangan pertahanan Gaza telah menang ke atas kehendak penakluk Zionis. Umat Arab dan Islam telah menang ke atas usaha Normalisasi dan pendokongnya.

“Saya sarankan kepada seluruh umat Islam Malaysia mengadakan solat jenazah ghaib ke atas para Syuhada di bumi Gaza dan Baitul Maqdis yang telah gugur syahid ekoran serangan Yahudi dalam tempoh enam hari yang lalu.

“Saranan ini sebagai menyahut seruan Dr Nawwaf Takruri yang merupakan Ketua Badan Ulama Palestin,” katanya.

HAMAS menyambut kesediaan Zionis untuk gencatan senjata setelah 11 hari melakukan pengeboman ke atas Gaza berkuatkuasa jam 2 pagi waktu tempatan di sana dan 7 pagi waktu Malaysia.

Berikutan itu, umat Islam di Gaza khususnya telah meraikan perkara yang menjadi kejayaan tersebut di mana menunjukkan kekuatan mereka menghadapi kegetiran perang tersebut dan masjid-masjid dipenuhi laungan takbir.

Kempen #Aid4Palestine terus menerima dukungan khususnya daripada ahli, pimpinan dan penyokong PAS bersama 143 NGO gabungan yang setakat ini mengumpul sumbangan mencecah RM10 juta.

Kempen seumpama turut digerakkan banyak pihak yang menunjukkan solidariti kemanusiaan ke atas Palestin dan juga mengecam hebat tindakan kejam Zionis ke atas penduduk awam Palestin. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -
- Advertisement -