Dewan Ulamak PAS kritik kenyataan Hamid Bador

mOHD nOR

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) merakamkan ucapan sekalung tahniah buat warga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), atas pelantikan Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani selaku Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu berkuat kuasa 4 Mei 2021, kata Ketua Penerangannya, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Pelantikan tersebut merupakan lantikan KPN yang ke-13 dan ia telah diumumkan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi menggantikan Ketua Polis Negara (KPN) sekarang, Tan Sri Hamid Bador dalam satu majlis khas.

Beliau berkata, DUPP juga mengkritik ucapan Hamid Bador, KPN sekarang ekoran kenyataan terbukanya dalam satu sidang berkenaan maklumat yang diperolehi dengan mendakwa terdapat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang membabitkan rasuah kalangan ahli politik tertentu secara terbuka di hadapan para wartawan.

Advertisement

“Adakah beliau telah lupa terhadap Akta Polis Sek 4 (1) di mana dia sebagai KPN adalah bertanggung jawab kepada Menteri Dalam Negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini

Sehubungan itu, katanya sikap Hamid hanya membawa cerminan buruk dengan semata-mata dakwaan.

Menurutnya, jika benar sebagaimana dakwaan yang dilontarkan tersebut, maka mengapa tidak diambil tindakan susulan semasa beliau masih menjawat KPN dengan membuat laporan agar penyiasatan dilakukan dan dibawa ke muka pengadilan untuk diadili bagi dihukum menerusi lunas perundangan yang ada dalam negara ini.

“Tidak wajar individu seperti beliau iaitu orang yang tahu prosedur undang-undang dan menjaga keadilan negara, tidak menggunakan saluran yang ada namun hanya beremosi dalam ucapan sehingga mengundang sangkaan berunsurkan fitnah dan dakyah terhadap politik semasa dengan timbulnya persepsi jahat kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang ini kerana sikap yang beliau tunjukkan adalah mengenepikan nilai undang-undang.

“Sebagai sebuah negara yang ada undang-undang dan sistem, kita ada saluran dan peruntukan bagi setiap sesuatu dakwaan,” ujar Ustaz Mohd Nor lagi.

Beliau menambah, Malaysia bukan negara cowboy dan jangan pula bersikap dengan mainan persepsi iaitu menjatuhkan hukuman sebelum diadili dan diputuskan hukuman oleh pihak mahkamah.

“Jangan pula disebabkan lantikan beliau sebelum ini oleh kerajaan PH, beliau hilang pertimbangan dalam bersikap adil dengan terikut rentak politik PH sehingga menggunakan kedudukan beliau sekarang ini untuk meracuni pemikiran rakyat dengan mainan persepsi semata-mata sebagaimana yang diamalkan oleh politik PH,” katanya.

Beliau menegaskan, DUPP sangat bertegas dalam soal yang membabitkan integriti kerana tanpa integriti ia akan mengakibatkan negara menuju kemusnahan.

Namun, katanya dalam soal pendakwaan, hendaklah setiap pendakwaan mengikuti saluran menurut lunas perundangan agar siasatan dapat dijalankan dan seterusnya diadili di mahkamah untuk dijatuhi keputusan dan hukuman.

“Bukannya dengan bermain persepsi dan menjadikan negara ini seperti negara cowboy,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Terengganu.

Beliau turut memetik firman Allah SWT di dalam Surah An-Nahl, ayat 90 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya. – HARAKAHDAILY 1/5/2021