Laporan polis lakaran ‘This is dengki ke?’

- Advertisement -

PASIR MAS: Gara-gara lakaran bertajuk ‘This is dengki ke?’ mengundang seorang aktivis berdepan siasatan polis kerana dianggap menghina Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Laporan polis dibuat berkaitan hantaran itu yang dipercayai dilakukan Fahmi Reza.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, hantaran dibuat Fahmi di Facebooknya dianggap bertujuan menghina dan mengejek.

- Advertisement -

“Walaupun tajuk (hantaran) itu ringkas, tetapi ia merupakan satu troll terhadap permaisuri.

“Pada saya walaupun ringkas ia disifat ada niat untuk menghina dan amat tidak wajar lontaran itu dibuat terhadap Raja Permaisuri Agong,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas hari ini.

Baru-baru ini pengguna media sosial terkejut setelah Tunku Azizah Aminah menyahaktifkan akaun Instagramnya selepas tanda pagar #Dengki ke sohor kini di Twitter Malaysia.

Tanda pagar itu merujuk kepada komen Permaisuri Agong di akaun Instagramnya, tidak lama sebelum akaun @ airtangan_tunkuazizah dinyahaktifkan.

Tangkap layar komen yang dikongsi secara meluas itu disertakan keterangan tentang aktiviti petang Tunku Azizah di dapur bersama chef istana.

Susulan itu Fahmi membuat hantaran menggunakan gambar Tunku Azizah dengan kapsyen ‘This is dengki ke?’ di Facebooknya yang dibuat sebagai gambar latar aplikasi Spotify.

Ahmad Fadhli yang juga ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beliau sudah lama ‘memantau’ media sosial Fahmi yang disifat banyak membuat lakaran menyentuh sensitiviti perkauman dan agama.

“Tidak sepatutnya Fahmi melakukan perbuatan sehingga menghina institusi beraja.

“Pemuda PAS memohon polis membuka kertas siasatan dan mengheret individu terbabit ke muka pengadilan agar perbuatan seumpama itu menjadi pengajaran kepada pengguna Facebook lain.

“Walaupun negara ini negara demokrasi dan kita bebas untuk bersuara untuk menyatakan hak dan sebagainya, tetapi ada batasannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -