Usah tafsir undang-undang ikut selera sendiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyeru Majlis Peguam Negara dan pengamal undang-undang bertindak memberi kefahaman dan pencerahan tentang undang-undang kepada masyarakat.

Menurutnya, kerajaan berdukacita ketika ini apabila semua jentera kerajaan menumpukan segala usaha termasuk kewangan untuk memerangi Covid-19, namun terdapat sesetengah pihak yang cuba membuat tafsiran tentang undang-undang mengikut selera sendiri, seolah-olah bertujuan meraih populariti dalam kalangan rakyat.

“Sebagai badan profesional bidang undang-undang, saya yakin Majlis Peguam tetap mendokong prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang negara serta akan terus menentang usaha-usaha memesongkan kehendak undang-undang terutamanya ketika negara sedang berada dalam keadaan kritikal dan getir dengan penularan berterusan wabak Covid-19 ini.

- Advertisement -

“Perlu ditekankan bahawa Ordinan Darurat hanyalah terpakai ketika negara berada di dalam tempoh Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos 2021 sahaja,” kata beliau dalam satu kenyataannya, hari ini.

Jelas Takiyuddin, negara berada dalam suasana darurat dari segi undang-undang apabila Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan.

Oleh itu, berdasarkan peruntukan Perkara 150(1), Baginda telah mengisytiharkan suatu Proklamasi Darurat pada 11 Januari 2021, berkuat kuasa hingga 1 Ogos 2021, selama sekitar 6 bulan 20 hari.

Kata beliau, darurat besar tersebut adalah ekoran penularan pandemik Covid-19 sejak setahun lebih yang lalu.

Langkah ini kata Takiyuddin, jelas merupakan usaha yang serius dan berfokus Kerajaan dalam rangka memperkasakan usaha-usaha membasmi wabak penyakit berjangkit Covid-19 ini termasuklah menggubal dengan segera Ordinan-Ordinan yang perlu semasa tempoh darurat. – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -