PRU15: PAS tangguh bincang kerusi dengan Umno

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

MARANG: PAS masih mempunyai hubungan dengan Umno tetapi menangguhkan perbincangan kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 bagi memberi peluang parti itu menyelesaikan masalahnya.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak memutuskan hubungan dengan Umno tetapi ditangguh perbincangan hingga Umno menyelesaikan masalahnya.

Menurut beliau, Majlis Syura Ulamak (MSU) membenarkan PAS mengadakan kerjasama dengan semua parti politik khususnya parti politik Melayu Islam di negara ini.

“Dengan Umno, kita masih ada hubungan dengan Umno. Cuma, Umno dia masih ada masalah lagi. Biar dia selesai masalah dia dulu. Jadi kita selesai dengan Bersatu dululah.

- Advertisement -

“Kita tak hentikan, tangguh kerana Umno tak selesai lagi masalahnya. Masalah dia, orang-orang dia pun tukar menukar, lepas orang ini, tukar menukar. Jadi tak tetap, kita tunggulah.

“Majlis Syura Ulamak membenarkan kita mengadakan kerjasama dengan semua parti-parti politik khususnya parti politik Melayu Islam dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Melayu yang ‘liberal’ ditolak. Kerjasama itu dengan MN (Muafakat Nasional) dan PN (Perikatan Nasional), dua-dua,” ujarnya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat secara atas talian di Masjid Rusila, hari ini.

Ketika ditanya, Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dan PAS itu merugikan orang Melayu atau tidak, kata Ahli Parlimen Marang penolakan itu tidak sebulat suara.

“Umno tidak sebulat suara, menteri-menteri dia tidak letak jawatan, Ahli Majlis Tertinggi (MT) dia tidak letak jawatan. Perhimpunan Agung Umno (PAU) dia pun tidak mengundi. Buat resolusi sahaja,” jelasnya.

Justeru, kata beliau PAS mahukan Umno segera menyelesaikan masalah dalaman sebelum pilihan raya. – HARAKAHDAILY 16/4/2021

- Advertisement -