DAP juara pencinta alam sekitar nombor 1 di dunia

TERAMATLAH geli hati ini melihat kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang membidas Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim berkenaan isu Malaysia tidak mendapat jemputan Amerika Syarikat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tindakan Perubahan Iklim yang dijadual berlangsung pada 22 dan 23 April ini.

Menteri KASA sudah pun memberi penjelasan mengapa Malaysia tidak dijemput dalam persidangan Antarabangsa yang melibatkan 40 negara itu.

Advertisement

Antara sebabnya ialah:

1. Malaysia tidak tergolong dalam kategori negara yang terdedah kepada impak perubahan iklim yang ketara.
2. Malaysia juga tidak termasuk dalam objektif utama persidangan iaitu menggalakkan negara ekonomi besar untuk meningkatkan komitmen mencapai matlamat mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum 1.5 darjah Celcius.

Lim Guan Eng siap menyamakan Menteri KASA seperti bekas Presiden US, Donald Trump yang tidak berminat terhadap aktivisme perubahan iklim. Persoalan mudah yang patut kita tanyakan kepada Lim Guan Eng ialah adakah anda buta dan buat-buat lupa dengan apa yang Kerajaan DAP Pulau Pinang buat terhadap alam sekitar di negeri itu? 

Projek mega Tambak Laut Pulau Pinang itu adalah antara penyumbang utama kepada kemusnahan teruk ekosistem alam dan impak sosio-ekonomi kepada komuniti pantai termasuk nelayan. DAP pencinta alam sekitar sangat ke sampaikan Sungai Pinang dan Sungai Juru di Pulau Pinang dikategorikan sebagai antara sungai paling tercemar di negara ini? Apa yang DAP dah buat untuk menyelesaikan masalah ribuan penduduk beberapa kampung berdekatan Tasek Gelugor yang menderita pencemaran bau busuk akibat pelepasan najis babi di Sungai Kereh?

Jadi, saya cadangkan kepada Lim Guan Eng dan DAP yang kononnya bermurah hati nak bantu Menteri KASA anjurkan persidangan isu perubahan iklim, lebih baiklah mereka fokus selesaikan isu kemusnahan alam sekitar yang begitu teruk di Pulau Pinang. Lebih baiklah Lim Guan Eng bantu Kerajaan DAP Pulau Pinang mengadakan persidangan bagi mencari jalan penyelesaian masalah pelepasan kumbahan najis babi daripada aktiviti penternakan babi secara yang tidak terkawal itu. Lim Guan Eng berlagak hendak menjadi hero pencinta alam, sedangkan dia tidak sedar tindakan lakonannya itu hanya membuka pekung di dada, bagai menepuk air dulang, terpercik ke muka sendiri juga.

SYED AHMAD FADHLI – HARAKAHDAILY 9/4/2021