Perikatan Nasional Pahang dilancar

KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Negeri Pahang dilancarkan hari ini dengan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah, dipilih sebagai pengerusi.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, mesyuarat penubuhan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra malam tadi, juga bersetuju melantik tiga naib pengerusi masing-masing daripada Bersatu, PAS dan Gerakan.

“Mereka ialah Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Jabar, Pengerusi Gerakan Pahang Ranndy Yap Kim Heng dan Timbalan Ketua Bersatu Pahang Lt Kol (PA) Mohd Yazid Mohd Yunus,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Erat Kasih Bersama Penduduk Balok Makmur di Masjid Balok Makmur di sini hari ini.

Advertisement

Lantikan lain ialah Setiausaha Bersatu Pahang, Mohd Arhan Mohd Saludin sebagai Setiausaha PN Pahang, dibantu oleh Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Hassanuddin Salim sebagai penolong setiausaha, manakala Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Pahang, Zakaria Abdul Hamid selaku setiausaha pengurusan.

Ketua Penerangan PAS Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya, dilantik sebagai Ketua Penerangan PN Pahang dibantu dua naib ketua iaitu Ketua Bersatu Bahagian Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah dan Bendahari Gerakan negeri, Chan Chee How.

Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Salamiah Mohd Nor pula menjawat jawatan sebagai Ketua Wanita PN Pahang, manakala naib ketua ialah Faizah Baharom (Bersatu) dan Cheong Lai Chee (Gerakan).

Ketua Pemuda PN Pahang pula ialah Nurul Qamar Abdul Latib (Bersatu) dengan dua naib iaitu ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badardin (PAS) dan Goh Tee Loong (Gerakan).

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, mesyuarat penubuhan PN juga bersetuju melantik dua wakil daripada setiap parti sebagai ahli jawatankuasa dengan Bersatu diwakili Ketua Bahagian Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Mohamed Ali dan Pemangku Ketua Bahagian Lipis, Datuk Mohamad Shahrum Osman.

PAS pula diwakili oleh ADUN Beserah, Andansura Rabu dan Md Jusoh Darus manakala Datuk B.Sri Chandra dan Yee Liu Wei mewakili Gerakan selaku AJK PN Pahang. –  BERNAMA